FEBRUARI 16 — Pengalaman membaca buku Membongkar Rahsia Dunia Melayu (2014) sesungguhnya mengingatkan saya kepada beberapa makalah yang pernah saya tulis mengenai realiti orang Melayu di negara ini.

Dalam makalah “Apa Khabar, Lembah Bujang?“ (The Malay Mail Online, 17 Mac 2014) ditegaskan bahawa candi-candi di tapak tamadun terawal dan tertua di Asia Tenggara itu dibina oleh orang Melayu-Hindu.

Menerusi makalah bertajuk “Siapa Kisah Lembah Bujang?“ (The Malay Mail Online, 12 Januari 2015), saya menyatakan bahawa candi-candi di Lembah Bujang yang ditemui penjajah British pada tahun 1840-an serta tapak berusia lebih 2,000 tahun yang ditemui di Sungai Batu pada 2009 sepatutnya menyedarkan kita bahawa ia adalah milik tamadun Melayu.Topik asal-usul Melayu masih menjadi perbincangan dan   perdebatan pelbagai pihak.
Topik asal-usul Melayu masih menjadi perbincangan dan perdebatan pelbagai pihak.

Ketinggian tamadun Melayu pada waktu itu (seawal abad ke-5 SM) tidak perlu dipersoalkan. Lembah Bujang berjaya berkembang menjadi pusat perdagangan serta pusat penyebaran agama Hindu dan Buddha.

Perkara ini turut diakui dalam buku ini yang menghimpunkan hasil tulisan “tiga orang blogger sejarah kontemporari tempatan” bernama Srikandi, Al-Semantani dan Ibnu Rusydi.

Seperti yang pernah dinyatakan dalam makalah “Tragedi Lembah Bujang” (12 Januari 2015), penemuan tapak peleburan besi di tapak ekskavasi di Tapak Arkeologi Sungai Batu membuktikan hakikat orang Melayu-Hindu di Lembah Bujang sudah terlibat dalam industri pertukangan besi sejak sekian lama.

Dalam buku Membongkar Rahsia Dunia Melayu, diakui bahawa “sejarah kewujudan bangsa Melayu masih samar-samar dan misteri” (halaman 4) dan “sejarah dan kejadian lampau itu berlalu basi kerana kaumnya sendiri tidak menghidupkannya” (halaman xvi).Buku ini wajar dibaca dengan minda terbuka untuk mampu   mencerna isinya.
Buku ini wajar dibaca dengan minda terbuka untuk mampu mencerna isinya.

Srivijaya menjadi bukti paling kukuh pengaruh Hindu di Nusantara.
Srivijaya menjadi bukti paling kukuh pengaruh Hindu di Nusantara.

Kenali kehebatan Empayar Srivijaya dan Majapahit

Sesungguhnya buku ini bukan hanya sesuai bagi bacaan kaum Melayu, tetapi masyarakat pelbagai kaum yang mahu tahu sejarah dan fakta yang mungkin tidak ditemui dalam buku teks Sejarah di sekolah.

Misalnya, empayar Srivijaya yang merupakan kerajaan Hindu-Buddha serta pusat pengajian Sanskrit dan Buddha yang amat tersohor.

Harus difahami bahawa ia bukan kerajaan orang India. Sebaliknya milik kaum Melayu (Malayu) di Nusantara yang masih menganut ajaran Hindu-Buddha sebelum kedatangan Islam.

Kerajaan Srivijaya yang mempunyai ibu kota di Palembang telah bertahan selama lebih enam abad serta berjaya menguasai Sumatera, Jawa Barat, Sri Lanka, Kalimantan Barat, Sulawesi, Maluku, Filipina dan Pulau Sulu serta Visaya dan utara semenanjung Melayu.

Seterusnya, Majapahit yang berpusat di Jawa Timur menjadi kerajaan Hindu terakhir dan terbesar; serta berjaya menguasai Jawa, Sumatera, Borneo, Sulawesi, Madura dan Tanah Melayu.

Empayar Srivijaya menjadi bukti paling kukuh pengaruh kebudayaan India di Nusantara. Selain daripada Srivijaya dan Majapahit, kerajaan Hindu-Buddha di Nusantara termasuk Langkasuka, Chih-Tu dan Lembah Bujang (Kedah Tua).

“Indianisasi bukanlah bermaksud penaklukan suku kaum India terhadap masyarakat tempatan atau pemaksaan elemen-elemen keIndiaan kepada mereka, mahupun dominasi etnik India terhadap orang Melayu. Sebaliknya unsur-unsur keIndiaan yang masuk ke alam Melayu adalah secara aman,” kata Al-Semantani (halaman 117).

Tentang Rajendra Chola dan Parameswara

Seperti ditegaskan dalam buku ini, “tamadun Melayu sering dikembarkan dengan Islam” (halaman 104) sehingga ramai yang beranggapan apabila ada unsur Hindu, Buddha, budaya India, bahasa Sanskrit dan seumpamanya, maka ia merupakan tamadun India.

Berdasarkan petikan beberapa halaman buku ini yang tersebar menerusi Facebook, ternyata ada pihak yang keliru, resah dan marah apabila dinyatakan bahawa Rajendra Chola yang menyerang Srivijaya dan Lembah Bujang tidak sama dengan Raja Suran yang disebutkan dalam Sejarah Melayu.

Saya juga pernah menjentik minda pembaca dengan mengungkitkan isu ini menerusi sebuah makalah beberapa tahun lalu.

Sesungguhnya saya amat gembira dan berpuas hati dengan penerangan berserta fakta yang disajikan menerusi buku ini bagi “menjawab kekeliruan sejarah”.

Satu lagi fakta yang nampaknya menimbulkan keresahan orang – khususnya kaum India di Malaysia – adalah mengenai Parameswara.

Sekali lagi, masalah timbul apabila hanya sekerat maklumat yang dikongsikan menerusi Facebook dijadikan rujukan sebelum membuat keputusan.

Memang Parameswara merupakan putera dari kerajaan Hindu-Buddha di Palembang yang diusir keluar. Dialah yang pergi ke Temasik dan kemudian membunuh pemerintahnya.

Parameswaralah yang terpaksa melarikan diri ke Tanah Melayu dan akhirnya membuka Melaka yang menjadi asas kepada empayar Kesultanan Melayu Melaka.

Buku Membongkar Rahsia Dunia Melayu tidak menafikan perkara ini. Sebaliknya diberikan pelbagai maklumat tambahan berdasarkan pelbagai sumber tempatan dan luar negara.

Perlu dibaca dengan fikiran matang dan rasional

Mungkin timbul kekeliruan antara Parameswara dan Megat Iskandar Shah. Kekeliruan dan kesamaran itu diakui dalam buku ini.

Misalnya, dinyatakan bahawa Parameswara meninggal dunia pada tahun 1414, manakala Megat Iskandar Shah adalah sultan kedua di Melaka (1414-1423).

Ada pandangan mengatakan Megat Iskandar Shah adalah anak kepada Parameswara dan sultan Melaka yang mula-mula memeluk Islam.

Ada pula yang berpendapat Megat Iskandar Shah adalah nama Parameswara sendiri selepas masuk Islam.

Pandangan yang dikemukakan ini tidak salah dan tidak memesongkan sejarah.

Sebaliknya, sesiapa yang selama ini beranggapan bahawa Parameswara adalah seorang putera kaum India-Hindu dari benua India perlu membetulkan fakta bahawa dia adalah putera kaum Melayu-Hindu dari Kepulauan Melayu sendiri.

Kita perlu sedar bahawa “mempunyai nama berunsur Sanskrit tidak membuktikan bahawa seseorang itu berasal dari India” dan “menganuti agama Hindu tidak semestinya membuatkan seseorang itu berbangsa India” (halaman 109).

Rata-rata rakyat Malaysia sudah dibiasakan dengan “sejarah” Malaysia bermula dengan kedatangan Islam; seperti diajar dan disuapkan di sekolah.

Wajarlah kita sama-sama mendalami sejarah zaman pra-Islam untuk mampu memahami tamadun Melayu berasaskan kerajaan Hindu-Buddha di Nusantara bagi membetulkan sebarang kekeliruan.

Dalam konteks ini, kelahiran sebuah buku seperti Membongkar Rahsia Dunia Melayu amat dialu-alukan.

Kini terpulang kepada sikap rasional dan pemikiran matang masyarakat untuk membacanya dengan minda terbuka tanpa dipengaruhi jiwa yang masih keliru.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.