JANUARI 19 — Sejurus selepas acara “I Want To Touch A Dog” berlangsung pada Oktober 19, 2014, ia menimbulkan kontroversi hangat. Ramai yang tampil memberikan pandangan dan hujah mengenai perbuatan orang Islam “sengaja” menyentuh dan memegang anjing.
Makalah bertajuk “Pahala sayangi anjing” (The Malay Mail Online, November 10, 2014) memuatkan pandangan rakan-rakan pelbagai kaum dan agama yang berfikiran progresif mengenai isu berkaitan anjing.
Baru-baru ini, saya mengadakan perbualan secara khusus dengan beberapa rakan Melayu-Islam tentang topik berkaitan anjing. Tujuannya adalah untuk menghasilkan sebuah makalah yang dapat membantu pembaca Bukan Islam memahami isu anjing dari perspektif orang Islam.
Perbualan kami bukan semata-mata berkaitan hukum tentang anjing menurut Islam, tetapi lebih kepada aspek pengalaman dan pandangan peribadi rakan-rakan sebagai orang Islam yang hidup dalam kalangan masyarakat majmuk.
Antara soalan yang ditanya adalah berkaitan perkara-perkara yang pernah diajar oleh ibu bapa dan saudara-mara semasa mereka kecil mengenai hukum menyentuh anjing.
“Saya diajar bahawa anjing itu haram disentuh. Kalau tersentuh kena samak (sertu). Tetapi jika terserempak dengan anjing di sekitar rumah, kami sekadar menghalaunya saja.
“Anjing perkara biasa di sekitar kampung saya kerana kami berjiran dengan ramai penduduk Cina. Orang tua kami kadang-kadang kenal pemilik anjing. Jarang kami terjumpa anjing liar atau anjing jalanan di kampung kami.”
Demikian diceritakan Hazama Harun yang lahir di Pulai Chondong, Machang, Kelantan. Beliau kini tinggal di Cheras dan bekerja sebagai editor kanan di sebuah syarikat penerbitan buku pendidikan.
Bagi Helmy Ahmad pula, sejak kecil, beliau sudah dididik oleh keluarga bahawa sekiranya tersentuh anjing, maka wajib sertu; iaitu cucian sekali dengan air tanah dan enam kali dengan air bersih.
Hukum agama terhadap najis mughallazah
Atiqah Arshad dari Slim River, Perak menjelaskan bahawa anjing termasuk
dalam kategori najis mughallazah iaitu najis berat.
Diterangkan dalam buku Fiqah Berinteraksi Dengan Non-Muslim (2009) tulisan Mohammad Nidzam Abd Kadir bahawa mazhab Syafi’i mewajibkan basuhan tujuh kali qiyas jika tersentuh anjing.
Manakala mengikut mazhab Maliki, kalau seseorang dijilat oleh anjing atau terkena air liur, barulah wajib dibasuh dan disamak. Untuk makluman, mazhab Syafi’i, Maliki, Hanafi dan Hanbali termasuk dalam kategori Sunni iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Walau bagaimanapun, jika badan anjing tersebut basah maka hendaklah dibasuh. Ini kerana kebasahan kulit/bulu anjing berkemungkinan besar berpunca daripada jilatan anjing kerana anjing memang menjilat tubuhnya,” kata penulis buku itu.
Hazama menambah maklumat bahawa dalam keadaan badan/tangan seseorang itu kering dan badan anjing juga kering, maka jika tersentuh, tidak perlu disamak.
“Tetapi jika dalam keadaan salah satu daripadanya basah, perlu disamak. Ada sesetengah orang memberikan pandangan, tangan kita berpeluh.
Walaupun kita anggap kering tetapi lebih baik disamak juga jika tersentuh anjing,” kata pengarang itu yang menggunakan nama pena Aiza Zizan.
Persoalan lain yang mungkin timbul dalam fikiran orang Bukan Islam adalah kenapa orang Islam di Malaysia sering memberikan reaksi seperti berasa jijik melihat anjing.
Apabila pertanyaan ini dikemukakan, Helmy yang tinggal di Kuala Lumpur menjelaskan bahawa beliau tidak berasa jijik jika anjing itu bersih dan berkelakuan baik. Anjing liar/jalanan yang berbau busuk dan meleleh air liur tetap menjijikkan kerana faktor kotor.
Atiqah juga tidak ada alasan untuk berasa jijik melihat anjing yang bersih dan sihat. Katanya, “mereka juga makhluk yang diciptakan Tuhan.” Pandangan ini dikemukakan walaupun beliau mengaku ada pengalaman dikejar anjing.
Antara jijik, takut dan berwaspada
Seorang rakan dari Kuantan, Pahang turut berkongsi pandangan. Liana mengakui bahawa rata-rata kanak-kanak Melayu dimomokkan dengan cerita tentang keganasan dan penyakit yang dibawakan anjing.
“Akibatnya, hampir semua kanak-kanak Melayu-Islam memang sungguh takut dan fobia dengan anjing tanpa mengetahui hakikat sebenar hukum Allah berkaitan anjing,” kata rakan itu yang berasal dari Alor Setar, Kedah.
Pada penelitian Liana, kebanyakan ibu bapa Melayu marah-marah jika anak terpijak tahi anjing kerana sukar dicuci atau disamak.
“Ibu bapa pula mengajar saya sejak kecil tentang keindahan Islam. Kata mereka, anjing itu najis tetapi Islam juga mengajar cara bersamak. Jika kita mencuci tangan selepas makan, secara tidak sedar kita sebenarnya menggunakan air lebih daripada enam kali.
“Untuk mencuci najis yang ada kaitan dengan anjing, cuma memerlukan tambahan satu lagi basuhan air tanah yang mudah didapati di mana-mana,” katanya yang ternyata tidak jijik melihat anjing.
Bercakap mengenai isu hampir sama, Hazama pula mengaku berasa jijik melihat anjing yang berpenyakit atau anjing liar. Hal ini kerana beliau takut dicederakan atau dijangkiti penyakit.
“Kalau tiada penyakit dan bukan anjing jalanan, saya tidak rasa jijik walaupun memang masih berasa takut melihat anjing bersaiz besar.
“Saya ada pengalaman dikerumuni empat ekor anjing liar. Saya cuba halau tetapi anjing-anjing itu tidak mahu beredar. Saya lari dan dikejar lalu jatuh hingga cedera pada siku dan lutut. Sejak itu, saya trauma apabila berhadapan dengan anjing; tetapi bukan jijik,” beliau menjelaskan.
Bagi Helmy pula, rasa takut itu bergantung pada keadaan. Sekiranya anjing itu bersaiz besar, garang dan menyalak sehingga meremang bulu roma, maka beliau rasa takut.
“Tapi sekiranya anjing itu jinak, tidak menyalak sesuka hati serta tidak menyeringai menunjukkan taring, saya tidak berasa takut,” katanya sambil menambah bahawa jiran hadapan rumahnya memelihara anjing.
Sikap tolak-ansur dengan jiran-tetangga
Berdasarkan pengalamannya sendiri, Helmy boleh bertolak-ansur jika rakan-rakan atau jiran-tetangga Bukan Islam memelihara anjing.
“Tiada masalah jika mereka mampu mendidik anjing itu serta mampu mengawalnya. Masalah timbul apabila ada pemilik yang membiarkan sahaja anjingnya sehingga menjadi ganas seperti anjing liar.
“Saya tidak salahkan anjing kerana sepatutnya si pemilik yang bertanggungjawab. Jangan kata anjing, sekiranya kucing tidak terkawal lalu berak merata-rata, kita tetap kecewa dengan sikap pembela kucing itu,” katanya.
Hazama sependapat dalam hal ini. Apa yang dibimbanginya hanyalah jika berlaku lagi kes anjing garang yang gagal dikawal pemilik sehingga menyerang dan mencederakan orang awam.
“Saya juga tiada masalah jika jiran membela anjing. Asalkan mereka tahu menjaga anjing peliharaan mereka dengan baik,” Atiqah menegaskan.
Pada pendirian Liana, tiada alasan untuk sesiapa pun membenci atau berasa jijik pada anjing kerana binatang itu memang ada banyak manfaat kepada manusia sejak zaman dahulu.
“Allah menjadikannya bersifat najis untuk menggalakkan manusia sentiasa menjaga kebersihan. Setiap ciptaan Allah ada sebab dan kegunaan.
“Saya masih ingat pesanan ibu saya iaitu ‘Kalau ingin menjadi doktor haiwan, jadilah. Selepas pegang anjing atau babi yang dirawat, samak sahaja, tak susah’. Saya masih ingat pesanan ibu walaupun saya kini tidak menjadi doktor haiwan,” kata pensyarah itu.
Hasil perbincangan santai ini membuktikan bahawa orang Melayu-Islam sebenarnya tidak berasa jijik atau membenci anjing. Sebaliknya, akibat didikan sejak kanak-kanak, ada orang yang berasa sedikit takut melihat anjing.
Sedikit perkongsian ikhlas oleh rakan-rakan seperti disajikan di sini diharap mampu membantu masyarakat pelbagai kaum lebih memahami isu sebenar serta hukum agama Islam berkaitan soal kenajisan anjing.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.