DISEMBER 8 — Apabila Umno membuat keputusan “syok sendiri” mengekalkan Akta Hasutan 1948 semasa perhimpunan agung parti politik itu baru-baru ini, saya antara lain teringat akan seorang pelajar Tingkatan Lima di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Tasek Mutiara, Pulau Pinang.
Pelajar berumur 17 tahun itu takut ke sekolah sejak 10 Ogos 2014 berikutan tindakan beberapa guru sekolahnya menghasut para guru lain dan pelajar supaya memboikot dan membakarnya hidup-hidup.
Susulan daripada insiden itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi dilaporkan mengesahkan bahawa Akta Hasutan digunakan untuk menyiasat pelajar kaum India itu. Ya, pelajar itu yang disiasat!
Katanya, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 4(1)(a) akta berkenaan seperti dilaporkan di bawah tajuk “Pelajar tingkatan 5 disiasat di bawah Akta Hasutan” (Utusan Online, 13 Ogos 2014).
Apa yang menghairankan, pelajar terbabit sendiri yang pergi ke balai polis untuk membuat laporan bahawa dia tidak menekan “like” pada laman “I Love Israel” yang menjadi punca isu.
Kalaulah pelajar itu menyukai laman itu sekali pun, harap maklum bahawa dia tidak melakukan apa-apa ulasan atau komentar, apatah lagi hasutan.
Sebagai individu yang mula-mula mendedahkan kes ini kepada wakil media, saya mengikuti segala perkembangan secara teliti.
Tangkapan skrin (screenshot) paparan yang kononnya menunjukkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu menyukai laman “I Love Israel” dipaparkan oleh seorang guru yang menggelarkan dirinya “cekgi”.
Guru lepasan pengajian Matematik dari Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang itu menulis komen “Anak muridku suka Israel? Buat malu cikgu sahaja” pada paparan yang dikongsinya menerusi Facebook.
Hasutan susulan dilakukan seorang guru lepasan ijazah sarjana muda seni halus Universiti Sains Malaysia (USM): “Sedangkan sekutu Israel kita boikot, apakan lagi budak ini. Boikot saja. Mulai hari ini, boikot dia. Jangan berkawan dengannya atau berkomunikasi dengannya.”
Seorang lagi guru menyarankan serta membuat hasutan yang amat terus terang dengan menulis komen “Kita bakor je hahaha.”
Campur tangan “pihak atasan”
Orang ramai mungkin menyangka polis dan Kementerian Pendidikan mengambil tindakan segera terhadap ketiga-tiga guru wanita itu. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Pada 19 Ogos 2014, ketua jabatan siasatan jenayah Pulau Pinang, Mazlan Kesah dilaporkan mempertahankan penggunaan Akta Hasutan untuk menyiasat pelajar berkenaan. Ulang: pelajar, bukan guru!
Berikutan kritikan pada peringkat tempatan dan antarabangsa, Mazlan membuat pengakuan bahawa polis sebenarnya terpaksa bertindak atas arahan pihak atasan (Malaysiakini, 21 Ogos 2014).
Drama serta lakonan politikus, orang atasan dan kuasawan juga sangat menjengkelkan. Minoriti yang tidak bersalah terus dikambing hitamkan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah memberikan jaminan pada Julai 2012 bahawa Akta Hasutan akan dimansuhkan. Janji manis itu diulangi pada September 2014.
Bagaimanapun, apabila memakai topi presiden Umno pada perhimpunan agung parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), lidah Najib seolah-olah mula bercabang.
Beliau mengumumkan “Akta Hasutan akan terus dikekalkan. Malah akan dipertahan, diperkuat dan diperkukuhkan” (Bernama, 27 November 2014).
Sebelum ini, saya mengandaikan Akta Hasutan akan dimansuhkan dan budak bawah umur yang dizalimi di Bandar Tasek Mutiara akan terlepas daripada menjadi mangsa kekhilafan pihak yang mengaku “bertindak atas arahan pihak atasan”.
Apa yang pasti, keputusan mengekalkan akta itu adalah keputusan Umno secara sendirian tanpa berbincang dengan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN). Apatah lagi mengambil kira pandangan rakyat yang hanya dianggap sebagai hamba-abdi kepada politikus dan kuasawan.
Timbalan presiden MIC, Datuk Dr S Subramaniam mengesahkan bahawa topik mengenai keputusan mengekalkan Akta Hasutan langsung tidak dibincangkan dalam BN mahupun dalam mesyuarat kabinet (The Malay Mail Online, 27 November 2014).
Presiden PPP, Tan Sri M Kayveas yang tidak terlibat dalam perbincangan tetap mengampu bos dengan berfalsafah pada 30 November 2014: “Rule number one, the boss is always right. If the boss is wrong, refer back to rule number one.”
Apabila Umno mengambil keputusan mengekalkan Akta Hasutan dan juak-juak dalam BN memilih untuk terus menjadi tukang angguk, apa pula nasib pelajar berkenaan yang secara terang-terangan dijadikan mangsa kezaliman, prejudis dan ketidakadilan?
Saranan kepada polis dan politikus
Pelajar aliran Sains itu tentu sudah tamat SPM. Sebelum ini, sejak menjadi mangsa hasutan dan ugutan “bakor” (bakar), dia takut untuk ke sekolah. Bapa mangsa menceritakan bahawa anaknya diludahi pelajar lain dan menjadi sasaran untuk dipukul (The Rakyat Post, 13 Ogos 2014).
Dalam pada itu, Bernama (14 Ogos 2014) memetik pengarah pendidikan Pulau Pinang, Osman Hussain sebagai meluahkan rasa kesal kerana perkara itu (insiden pelajar dihasut supaya diboikot dan dibakar) dihebahkan menerusi laman rangkaian sosial.
Beliau memberitahu wartawan media antarabangsa bahawa beliau akan cuba menyelesaikan isu itu secara aman tanpa campur tangan polis (AFP, 14 Ogos 2014).
Anehnya, menurut laporan media tempatan, Osman menyalahkan pelajar terbabit dengan alasan bahawa dia sepatutnya memahami sensitiviti masyarakat (The Malaysian Insider, 14 Ogos 2014).
Menurut laporan media pada 19 Ogos 2014, Mazlah pula mempertahankan penggunaan Akta Hasutan terhadap pelajar terbabit.
Katanya, selepas kenyataan dikumpul menggunakan Akta Hasutan, barulah akan dikaji dan diputuskan sama ada akta itu boleh digunakan untuk menghukum pelajar berkenaan, atau perlu menggunakan akta lain.
Umno sudah memutuskan untuk menggunakan Akta Hasutan bagi melindungi orang Melayu, agama Islam, raja-raja dan kerajaan. Motif “melindungi” Umno dan kuasawan pro-Umno amat nyata.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sendiri tampil memuji keputusan mengekalkan, mempertahankan, memperkuatkan dan memperkukuhkan akta tinggalan penjajah British itu sebagai “tindakan tepat dalam usaha membendung tindakan pihak tertentu yang ketika ini secara terbuka menggunakan kebebasan bersuara secara salah” (Bernama, 27 November 2014).
Melihat kepada segala perkembangan ini, jangan terkejut jika pelajar terbabit sudah masuk penjara sebelum keputusan SPM diumumkan.
Atau pihak berkuasa sebenarnya ada pilihan bertindak bijak dan rasional dengan membuat kenyataan rasmi bahawa siasatan terhadap pelajar itu di bawa Akta Hasutan sudah digugurkan sepenuhnya.
Kuasawan, politikus dan polis perlu sedar bahawa sebagaimana mereka mendukung Akta Hasutan demi “mempertahankan” pihak tertentu, begitulah juga orang ramai meneliti perkembangan kes pelajar dari Pulau Pinang itu bagi memastikan dia tidak menjadi mangsa “nafsu” pihak atasan.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.