12 OKTOBER — Lirik atau senikata dalam sesebuah lagu penting sebenarnya untuk melengkapkan tahap sedap dan sempurna sesebuah lagu itu. Di negara kita ini, kebanyakan lirik isi dan temanya lebih kurang sama saja, iaitu tema tentang cinta dan kasihsayang.
Tema cinta mudah dijual. Itu kata mereka yang berada di dalam industri muzik tanahair. Paling klise, tema cinta kecewa dan lara, itu paling diterima. Sebabnnya orang kita memang seronok layan rasa kecewa dan putus asa.
Sepatutnya kalau kecewa dengarlah lagu yang berjaya meneutralkan perasaan lara dan kecewa kita, tapi orang kita lebih suka melayan lagu lara seperti ‘Sampai Hati’ atau lagulagu jiwang rock kapak yang sewaktu dengannya demi untuk menikmati ‘moment’ kecewa itu.
Dulu saya tidak faham mengapa ini berlaku dan mengapa orang kita memang suka dilanda kecewa atau frust. Hari ini saya boleh faham dan memang itulah orang kita.
Pun begitu, saya suka mendengar lagulagu lama tahun 50an sehinggalah 70an. Mungkin sebab saya sukakan sound yang ‘raw’ dari pemuzik dan penyanyi kerana di waktu itu biasanya rakaman dilakukan secara ‘live’.
Di antara banyak lagu lama yang saya suka, saya juga suka mengkaji cerita dan lirik dalam lagu-lagu yang diterbitkan di zaman itu. Suka kerana cerita dalam lagunya kadang tak masuk akal pun ada, tapi itu yang membuatkannya menjadi menarik dan unik.
Saya ingin membawa pembaca ke tahun 70an, zaman di mana lagu lagu saduran menghiasi kemeriahan industri muzik kita. Zaman itu kebanyakan lagu yang popular adalah lagu yang ditiru dari lagu popular luar negara seperti dari Jepun dan Amerika.
J.Mizan penyanyi berasal dari Singapura antara penyanyi berbakat yang menghiasi kelendar artis 70an. Keistimewaan J.Mizan adalah suaranya yang unik, tersendiri dan bernada tinggi. Saya salah seorang pendengar yang membesar dengan lagu lagu beliau.
Dalam sekian banyak lagunya yang popular, saya cukup tertarik dengan salah sebuah lagu dendangannya berjudul ‘Mencari Kesayanganku’. Menarik kerana walau liriknya nampak bodoh namun bagi saya penuh dengan misteri dan teka teki. Cuba kita hayati dan kupas cerita dalam lagu Mencari Kesayanganku’ ini,
Saya tidak pasti siapa penulis liriknya, atau lagunya mungkin juga lagu saduran dari Jepun.
Mencari Kesayanganku
Cik Adik Manis bolehkah abang
Tumpang bertanya rumah Cik Di’ana
Yang mempunyai gadis jelita
Terpesona hati ku kepadanya
Abang dah pergi serata tempat
Ke kampung kampung dan juga desa
Ku mengembara kerana dia
Terpikat oleh tali asmara
Cik Adik Manis yang ku bertanya
Tersenyum simpul pandang wajahku
Ia berkata maafkan daku
Tak pernah mendengar nama itu
Aku ucapkan terima kasih
Pada cik adik yang baik hati
Akan ku cari kesayangan ku
Barulah hilang rindu di hati
Penyanyi – J.Mizan
Pada rangkap pertama penulis bertanya kepada Cik Adik Manis di mana letaknya rumah Cik Diana, yang mempunyai seorang gadis jelita. Samada gadis jelita itu anak Cik Diana atau pun bukan tidak pula diceritakan dalam lagu ini.
Rangkap kedua pula penulis menceritakan tentang keluh kesah dan rindu dan dendamnya pada gadis idamannya itu. Sudah puas dia mengembara ke serata tempat, kampung dan juga desa demi untuk mencari buah hatinya itu.
Sambil tersenyum simpul Cik Adik Manis meminta maaf sambil berkata, “ tak pernah mendengar nama itu”. Maknanya dia tak pernah mendengar nama Cik Diana itu. Atau mungkin Cik Adik Manis itulah ‘gadis jelita’ milik Cik Diana?
Rangkap keempat pula menampakkan sikap sabar dalam diri penulis yang masih mengucapkan ucapan terimakasih walau hampa dengan jawapan dari Cik Adik Manis itu. Maka dia pun meneruskan perjalanan untuk mencari kesayangannya walau tanpa arah, tanda mahupun tujuan.
Bagi saya lagu Mencari Kesayanganku ini penuh dengan elemen dan misteri yang terkandung di dalamnya. Mesejnya penuh dengan falsafah dan ‘soul searching’. Ini juga mengingatkan saya kepada karya agung Farid udDin Attar ( penyair suf dari Nishapur Iran yang lahir pada tahun 1145, meninggal pada 1220 ) yang berjudul The Conference of the Birds atau Musyawarrah Burung.
Cerita dalam Musyawarrah Burung dari konsep dan perlambangannya berkisar tentang perjalanan insan dalam mengenal dirinya melalui tujuh lapis diri sehingga jawapan di atas penat lelah pengembaraan sekawan burung itu hanyalah sekeping cermin, untuk kita melihat jawapannya pada wajah kita sendiri.
Lirik Mencari Kesayanganku juga berkisar tentang perjalanan insan dalam mencari Tuhan dalam konteks hakikat. Yang mahu dicarinya adalah ‘gadis jelita’ atau dirinya yang sebenar yang belum pernah ditemunya sehingga habis semua rangkap lagu.
Atau mungkin sehingga ke akhir hayatnya dia tidak akan berjumpa apa yang dicarinya. Pun kenikmatan bagi seorang pencari adalah nilai ‘kembara’ itu sendiri kerana hidup kita ini adalah sebuah perjalanan yang panjang dan tidak ada kesudahannya.
Diceritakan juga sehingga penulis sanggup mengembara atau menyelami tujuh lapis dirinya sendiri demi untuk mencari makna yang satu untuk proses penyatuan jiwa.
Kenyataannya untuk mengenal diri walaupun ianya nampak mudah, namun tidaklah semudah kita belajar alif, ba ta atau cerita fekah yang berkisar tentang permukaan dan keindahan zahir semata.
Lirik yang misteri ceritanya umpama lukisan yang abstrak yang tahap fahamnya mengikut tahap pemikiran kita dalam mentafsirkan maksud dan ceritanya.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis.