7 SEPTEMBER — Apabila bercerita tentang “busker” atau pemuzik jalanan, kita lihat hari ini di mana mana ceruk dan sudut pun, aktiviti tersebut sudah menjadi sebahagian dari budaya masyarakat moden hari ini atau kita kata “pop culture”.

Kita ke Jalan Masjid India, Sogo, Jalan Bukit Bintang, Petaling Street, di luar perkarangan kompleks Nu Sentral, akan kelihatan para pemuzik jalanan menghiburkan khalayak di sana. Ini nyata perkembangan yang positif untuk negara dan para penggiat seniman jalanan.

Aktiviti busking harus terus dipersembahkan kepada umum kerana ianya dapat diekplorasikan kepada berbagai cabang. Golongan busker mampu memainkan peranan penting ke arah penyemarakan industri pelancongan, peningkatan aktiviti sosial setempat dan pembangunan generasi belia negara.

Pada 20 dan 21 September 2014 ini, akan berlangsung program berbentuk festival berskala besar yang akan bertempat di Langkawi, yang melibatkan 150 pemuzik jalanan dari seluruh negeri.

Program yang dinamakan Langkawi Buskers Festival 2014 (LBF 2014 ) ini dianjurkan secara ekslusif oleh Malaysian Buskers Club (MYBC) dengan kerjasama dan sokongan dari Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA ), Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sekretariat Visit Malaysia Year 2014, Kerajaan Negeri Kedah dan Agensi Dadah Kebangsaan (AADK).

MYBC yang mula dilancarkan pada 2012 adalah sebuah pertubuhan berdaftar yang menggabungkan golongan Penghibur Jalanan bagi mentransformasi industri busking dan menaiktaraf karier busker dengan misi mereka untuk menyatukan golongan penghibur jalanan ke arah yang lebih professional.

Ini kali ke dua program festival tersebut berlangsung. Kali pertama pada 2 dan 3 November 2013 tahun lepas, Langkawi Buskers Festival 2013 (LBF2013), juga bertempat di Langkawi. Kesan dari kejayaan program tersebut maka diadakan lagi untuk kali yang ke dua, mungkin akan menjadi aktiviti tahunan untuk tahun tahun yang mendatang.

Saya sempat menghubungi presiden MYBC, saudara Wady Hamdan untuk bertanyakan beberapa soalan dan pandangan beliau tentang program LBF 2014 yang akan mengadakan showcase di Jeti Kuah dan Jeti Kuala Perlis pada 13 September dan di sekitar Pulau Langkawi pada 14 dan 15 September 2014.

Seperti kata beliau, LBF2014 yang tampil dengan slogan “Truly Malaysian Streets Sounds”, tampil dengan skala yang lebih besar dengan penambahan beberapa aktiviti seperti pameran produk tempatan, dan “An Evening in Langkawi yang akan menampilkan kemeriahan acara pantai”.

Katanya lagi, tidak seperti di tahun lepas di mana mereka menjemput penyanyi cilik Indonesia, Tegar, tahun ini mereka lebih mengutamakan artis tempatan dan pelancaran MY BUSKERS CORNER Langkawi akan diadakan menerusi LBF2014.

Artis jemputan yang turut hadir memeriahkan program festival tersebut antaranya kumpulan OAG, Azlan & The Typewritter, Jinbara, Najwa Latif dan Aru R.O.B.

Saya bertanya tentang peranan dan sokongan dari pihak kerajaan tentang aktiviti busking, nyata beliau bersyukur dengan sokongan yang hebat dan berterusan dari pihak kerajaan.

“Kerajaan terus mengangkat busker sebagai komuniti yg mampu menyemarak aktiviti social setempat secara sihat, menyumbang kepada kerancakan sektor pelancongan disamping menjurus kepada pembangunan generasi belia. Busker terus dilabel ke tahap ikon jalanan yg positif.”

Saya turut dijemput untuk terlibat dalam program tersebut pada tahun lepas namun keadaan tidak mengizinkan untuk saya ke sana.

Sejak kerajaan Barisan Nasional mengambil alih Kedah dari PAS dalam Pilihan raya umum ke 13 (PRU 13) lalu, nilai keterbukaan terutama dalam hal yang melibatkan muzik dan seni kembali dinikmati dan dipraktikkan.

Sepatutnya begitulah, kerana muzik dan seni juga berperanan membentuk satu budaya dan mampu memberikan nilai yang positif kepada masyarakat dan negara.

Langkawi Buskers Festival 2014 (LBF 2014 ) ini dianjurkan secara ekslusif oleh Malaysian Buskers Club (MYBC) dengan kerjasama dan sokongan dari Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA ), Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sekretariat Visit Malaysia Year 2014, Kerajaan Negeri Kedah dan Agensi Dadah Kebangsaan (AADK).
Langkawi Buskers Festival 2014 (LBF 2014 ) ini dianjurkan secara ekslusif oleh Malaysian Buskers Club (MYBC) dengan kerjasama dan sokongan dari Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA ), Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sekretariat Visit Malaysia Year 2014, Kerajaan Negeri Kedah dan Agensi Dadah Kebangsaan (AADK).

Langkawi adalah sebuah pulau pelancongan yang popular di mata dunia. Dan saya rasa memang sesuai pulau itu dijadikan pusat atau aktiviti muzik dan busking kerana ramai pelancong yang datang terutamanya dari luar negara sudah terbiasa dengan aktiviti tersebut.

Ketika ditanya tentang misi dan visi MYBC dan impian mereka, seperti kata presidennya: “Kita MYBC terus tanpa henti menaik taraf aktiviti busking sebagai sebuah industri yang mampu memajukan negara. Dalam mencetus fenomena, kita merancang untuk mewujudkan Kolej Penghibur Jalanan yg memberi pengiktirafan kepada busker serta mengolah kepada pendidikan.

“Kita juga ditawar menjadi duta Langkawi oleh pihak LADA bagi mempromosi Langkawi di serata negeri menerusi aktiviti busking.”

Saya teringat kali pertama menonton Wahid, si pemuzik jalanan yang busking di Pasar Seni di pertengahan tahun 80an dulu sewaktu Pasar Seni baru dibuka.

Di antara semua pemuzik jalanan waktu itu, saya paling suka melihat persembahan Wahid. Beliau ceritanya dihantar untuk belajar di luar negeri dan apabila pulang ke Malaysia, telah memilih jalan untuk menjadi busker.

Lagu lagu pilihannya bagi saya sangat menarik dan kreatif. Mungkin beliau bukan seorang penghibur, melainkan seorang performer yang masih punya nilai nilai idealis yang tebal dalam dirinya.

Memainkan lagu lagu Inggeris yang menarik dan “rare” seperti seleksi dari lagu Beatles, Pink Floyd, Sade, Marley dan banyak lagi, Wahid dengan suara bassnya seperti Richie Havens, kekal sebagai penghibur jalanan yang paling unik dan tinggal diam dalam dunia yang hanya dia yang tahu dan faham apa yang dimahunya dalam hidup ini.

Ketika beberapa orang anak muda yang menonton persembahannya di suatu petang suatu masa dulu, yang meminta dia menyanyikan lagu “Isabella” yang dipopularkan oleh kumpulan Search, Tanpa melihat kepada wajah anak anak muda itu yang kelihatan terpinga pinga, Wahid memberikan responnya,

“Tak mainlah lagu ‘Isabella’!”

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.