APRIL 20 — Saya sempat membawa ahli keluarga untuk bersantai di Dataran Merdeka malam sabtu (8hb Mac 2014), beberapa minggu yang lalu. Selepas penat bekerja, elok juga kita rehatkan fikiran bersama keluarga.
Apa yang menarik, sesampainya di sana, suasana seperti ada suatu perayaan sedang berlangsung. Memang meriah dengan ramai ahli keluarga atau muda mudi yang datang dalam bentuk dan suasana yang santai.
Mereka ke sana bukannya untuk menonton pesembahan Citrawarna, persembahan muzik atau konsert tajaan dari pihak kerajaan dengan budget besar, bukan ucapan-ucapan propaganda memuji inisiatif dan insentif pihak kerajaan mempromosi Visit Malaysia Year 2014.
Yang kita tonton itulah persembahan pemuzik jalanan, street performance, kanak-kanak riang gembira berkejaran antara sesama mereka sambil bermain berbagai jenis mainan dan segalanya adalah lambang kasih-sayang kita antara sesama kita dan alam.
Tidak perlu berbelanja besar untuk malam minggu yang nyaman walau waktu itu di langit masih berjerebu. Kita akan tetap terhibur dengan suasana yang santai, aman dan damai di situ.
Busker yang dijemput untuk busking di sana membuat persembahan dengan line-up simple tapi tetap berkesan. Peniaga mengambil kesempatan untuk berniaga menjual barangan aksesori mainan.
Mereka ( busker ) yang bermain muzik dengan 3 line-up, pemain dram, akustik gitar merangkap vokalis dan elektrik gitar begitu bersemangat menyampaikan pelbagai rentak lagu dari pop, reggae dan sebagainya. Waktu persembahan mungkin dari jam 8 malam sehinggalah jam 11.30 malam.
Saya tidak sempat bertanya khabar busker yang membuat persembahan tapi sempat berbual seketika dengan seorang street performer ( orang galah ) yang turut terlibat dalam program yang santai itu.
Katanya dia dan busker tersebut dijemput pihak DBKL untuk memeriahkan program malam minggu di Dataran Merdeka. Anak-anak saya sempat bergambar dengan street performer tersebut.
Inilah yang kita mahu untuk Malaysia yang lebih terbuka terhadap cabang seni yang tidak konvensional tapi tetap memberi impak yang berkesan kepada masyarakat terutamanya kepada golongan ‘working class’ yang mahu merehatkan minda dalam suasana yang nyaman dan bahagia.
Saya puji langkah DBKL yang punya inisiatif dan kreativiti dalam memartabatkan golongan penghibur jalanan ke satu tahap yang sepatutnya. Bertepatan pula tahun ini kita menyambut Tahun Melawat Malaysia 2014.
Saya tidak pasti selepas itu masih adakah lagi sabtu yang meriah seperti yang saya lalui malam itu? Kalau mereka jadikan program santai itu sebagai aktiviti tetap pada setiap malam minggu pun bagus juga.
Hari ini atau sejak kebelakangan ini kita boleh lihat penerimaan yang sangat positif dari pihak masyarakat juga kerajaan terhadap golongan busker ( pemuzik jalanan ). Busker di sana sini, menghiburkan masyarakat terutamannya untuk golongan ‘working class’ ( marhaen ) menikmati hiburan yang pasti menghiburkan.
Silalah berkunjung ke pusat membeli belah SOGO atau ke Bukit Bintang, anda akan melihat betapa ramainya peminat muzik jalanan memenuhi port busking di sana untuk menikmati muzik yang dimainkan di tepi jalan secara ‘live’ dari pagi, petang membawa ke malam sampailah ke subuh.
Atau kita boleh lihat berbagai aktiviti busking yang dianjurkan Malaysian Buskers Club (MYBC) melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT ) di setiap negeri untuk program di sepanjang tahun ini bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014.
Bagi badan bukan kerajaan NGO Kakiseni pula, mereka juga turut punya inisiatif untuk mengembang dan mempopularkan konsep dan aktiviti busking agar diterima oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira apa bangsa dan agama mereka.
Maka bermula pada februari 2014 yang lalu, untuk selama 3 bulan, pada setiap sabtu dan ahad, mereka menjemput busker yang lama dan baru untuk terlibat sama dalam program busking atau mereka namakan ‘Buskstop’.
Kawasan atau port yang terlibat seperti di sekitar Pavillion dan di hadapan kompleks beli belah ‘Farenheit 88’ di Bukit Bintang.
Antara busker yang terlibat seperti Azmyl Yunor, Wolf, Nan Blues, Ali Gecikarana dan ramai lagi. Saya turut dijemput membuat persembahan busking pada setiap ahad, jam 2.30 hingga 3.15 petang untuk tempoh sebulan.
Cuma yang agak ralat bagi saya, bunyi yang sangat bising yang datang dari dalam kompleks tersebut juga papan iklan mengganggu permainan dan muzik yang kita mainkan secara ‘live’.
Maknanya pihak pengurusan masih mengambil sikap tidak peka pada nilai seni dan kreativiti, melainkan di dalam kepala mereka tetap memikirkan aspek untung dan rugi berbanding nilai seni itu sendiri.
Saya juga sering ke Medan Selera Kampung Baru pada setiap pagi kalau ada masa. Kebetulan baru-baru ini saya ke sana untuk minum pagi, terdapat sebuah kumpulan muzik lagu asli sedang asyik memainkan lagu asli dengan iringan biola, akordian dan gendang.
Memang menarik muzik yang mereka mainkan dan saya sempat berbual dengan salah seorang ahli kumpulan yang mereka namakan ‘Panca Delima’ itu. Mereka adalah pemuzik professional yang sering membuat persembahan di majlis formal atau santai.
Busking selain untuk duit poket, dapat juga mengisi masa dengan bermain muzik dan dalam masa yang sama praktis untuk memantapkan cara permainan dan skil.
Apa pun saya ucapkan tahniah pada pihak DBKL, Malaysian Buskers Club dan Kakiseni atas inisiatif yang mereka tunjukkan dalam memartabatkan imej seniman jalanan di mata masyarakat.
* Pandangan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.