DEC 25 — Daripada memberikan ikan kepada seseorang untuk dijadikan makanan sehari, lebih baik mereka diajar memancing supaya mereka boleh berdikari sepanjang hayat.

Konsep itulah juga yang mahu diterapkan oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) serta Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya kepada penduduk di Kampung Chetti, Gajah Berang, Melaka.

Berikutan Kunjungan Perpaduan Kavyan ke kampung warisan berkenaan pada 15 Disember 2013, kami memutuskan untuk mengadakan acara khas membimbing penduduk terbabit bagi membolehkan kumpulan minoriti itu memperjuangkan hak secara terancang dan profesional.

Sebagai seorang penulis sepenuh masa yang gemar menjadi “suara” bagi pihak kelompok minoriti, saya secara peribadi juga mahu golongan minoriti diberikan “kuasa” untuk mampu bersuara dengan berani dan tanpa boleh diperkotak-katikkan sesiapa; khususnya politikus.

Advertisement

Kunjungan Kavyan ke Kampung Chetti baru-baru ini adalah sebagai susulan kepada beberapa kunjungan sebelum ini yang bertujuan menghayati warisan kaum Chetti yang amat unik dan seharusnya menjadi kebanggaan Malaysia.

Kampung Chetti wujud sejak tahun 1414, iaitu jauh sebelum penjajahan Portugis pada 1511. Malah, kampung ini serta para penduduknya berjaya mempertahankan hak, identiti dan maruah walaupun negara pernah dijajah Belanda, British dan Jepun.

Segala maklumat ini turut didokumentasikan pengkaji sejarah dari Singapura, Samuel S. Dhoraisingam menerusi buku “Peranakan Indians of Singapore and Melaka” (2006).

Advertisement

Saya berpeluang pergi bersama-sama beliau ke Kampung Chetti selepas buku itu terbit dan dilancarkan. Sejak itulah wujud hubungan antara Kavyan dan penduduk di sana.

Walau bagaimanapun, pada kali ini, kami dikejutkan dengan berita projek pembangunan yang sudah dimulakan di kawasan “Lot 93” yang terletak di tengah perkampungan itu.

Tinjauan mendapati bahawa pembinaan dua blok kondominium 22 tingkat, hotel 12 tingkat dan tempat letak kereta 6 ringkat sudah diluluskan Kerajaan Negeri Melaka dan sudah pun bermula di atas tanah Lot 93.

Flip flop politikus selepas pilihan raya

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (Mei 2013), Ketua Menteri Melaka waktu itu, Datuk Seri Mohd Ali Rustam khabarnya sudah mengarahkan projek pembinaan itu dihentikan. Saya melakukan semakan di beberapa akhbar arus perdana dan ternyata benar.

Akan tetapi, kini projek itu diteruskan walaupun mendapat bantahan penduduk Kampung Chetti. Berita bantahan itu pula hanya disiarkan di beberapa akhbar Tamil dan Cina. Keratan akhbar itu ditunjukkan kepada saya, Shahrul Nizam Abd Hamid, Rayner Yeo dan Nor Arlene Tan.

Perkampungan Chetti.
Perkampungan Chetti.

Kami turut diberikan taklimat lengkap mengenai perkembangan isu pembinaan di “Lot 93” oleh Yang Dipertua Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti Melaka, K. Supramania Pillay dan setiausaha, Mohan Pillay.

Hasil tinjauan dan rakaman foto yang dikirimkan kepada saya dari semasa ke semasa oleh penduduk Kampung Chetti jelas menunjukkan bahawa projek pembinaan itu sudah, sedang dan akan terus menjejaskan kedudukan Perkampungan Warisan itu.

Beberapa kuil lama yang dibina menggunakan batu kapur (limestone) berdepan masalah besar berikutan projek pembinaan ini. Misalnya, Kuil Sri Anggala Parameswari yang digazetkan sebagai Warisan Negara terletak sekitar 300 meter dari tapak pembinaan; Kuil Sri Kailasanar (sekitar 400 meter) dan Kuil Sri Muthu Mariamman (100 meter).

Segera saya teringat akan laporan di media arus perdana tentang  Pemuda MIC yang segera bangkit “berjuang” apabila candi Lembah Bujang di Kedah dirobohkan baru-baru ini. Sehingga makalah ini ditulis, saya belum membaca apa-apa reaksi mereka terhadap Kampung Chetti.

Ada desas-desus mengatakan Pemuda MIC Kebangsaan tidak mahu masuk campur. Saya harap khabar angin itu tidak benar. Malah, apabila saya menghubungi Ketua Pemuda MIC Kebangsaan untuk mendapatkan maklumat Pemuda MIC Melaka, beliau tidak pula menyatakan apa-apa kepada saya.

Penduduk Kampung Chetti pula memaklumkan bahawa Presiden dan Timbalan Presiden MIC sudah ditemui untuk mengadu mengenai “Lot 93” tetapi tiada sebarang reaksi positif yang boleh dibanggakan. Mungkin kerana mereka tidak ada “kuasa” dan “suara”.

Kavyan pula bertegas membantah sebarang pembinaan yang boleh menjejaskan kampung warisan ini. Kenyataan media turut disiarkan di media alternatif pelbagai bahasa dan di akhbar Tamil Malar.

Susulan daripada itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), anggota masyarakat dan warga prihatin mula bersuara menerusi laman rangkaian sosial.

Rata-rata baru tahu tentang bencana yang sedang melanda dan tertanya-tanya bagaimana Kerajaan Negeri Melaka boleh membiarkan “pencerobohan” kawasan sekitar Kampung Chetti dibiarkan tanpa pengawasan.

Unesco, ‘kuasa rakyat’ perlu ada

Sekiranya perlu, Kavyan mencadangkan supaya wakil Pertubuhan Pelajaran, Sains dan kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) dipanggil untuk membuat tinjauan serta mengemukakan saranan dan laporan kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Ketua Menteri, Datuk Wira Idris Harun.

Tambahan pula, Kampung Chetti mendapat pengiktirafan sebagai Perkampungan Warisan dan tentu sahaja ada enekmen yang menghalang pembinaan bangunan tinggi di sebelahnya. Mustahil pihak berkuasa dan kerajaan negeri serta MBMB tidak tahu-menahu akan perkara-perkara asas seperti ini.

Harapan dan gesaan Kavyan adalah supaya cadangan pembinaan di Lot 93 dihentikan segera. Rundingan patut diadakan dengan Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti Melaka mengenai cadangan supaya tanah Lot 93 digazetkan sebagai sebahagian daripada Kampung Chetti.

Kerja-kerja pembinaan di Lot 93 sudah bermula. Namun, tentu sahaja masih belum terlewat untuk menggunakan “kuasa rakyat” — The Third Force — untuk menuntut hak penduduk Kampung Chetti daripada menjadi mangsa penghapusan etnik secara tidak terancang.

Atas dasar dan niat itulah juga “Solidariti Kampung Chetti” akan berlangsung pada 29 Disember 2013. Pada sebelah petang pula akan diadakan sesi taklimat khas, soal-jawab dan persembahan kebudayaan yang terbuka kepada orang ramai, NGO, warga prihatin dan wakil media.

Tiga aktiviti akan berlangsung secara serentak bermula 9:30 pagi. Ketiga-tiga program ini dirangka khusus bagi mempersiapkan penduduk Kampung Chetti Melaka dengan ilmu dan “kuasa” yang perlu dalam menghadapi cabaran serta memperjuangkan hak secara profesional.

Bagi Bengkel Penulisan dan Komunikasi Media, peserta terdiri daripada penduduk Kampung Chetti yang berminat mempelajari serta memanfaatkan ilmu berkaitan penulisan makalah budaya, kenyataan media, berita, surat pembaca dan surat rasmi.

Cara mengendalikan sidang media, wawancara, menyerahkan memorandum dan pelbagai topik berhubung ilmu komunikasi media akan diajar. Ilmu ini penting dalam memberikan “kuasa” kepada penduduk Kampung Chetti memperjuangkan hak; khususnya dalam isu melibatkan “Lot 93”.

Pada masa sama, sekumpulan lagi penduduk akan pergi ke setiap pelosok kampung untuk merakamkan foto-foto yang mampu “berbicara” untuk menceritakan mengenai “tragedi” yang sedang melanda kampung warisan ini.

Foto-foto yang dirakam akan terus dimuat naik ke media rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter untuk memberikan kesedaran kepada orang awam. Rakaman foto turut melibatkan aktiviti seharian penduduk Kampung Chetti.

Media sosial, alternatif jadi tempat bersuara

Bimbingan bagi siri “Biar Foto Berbicara” sudah pun dimulakan sejak beberapa hari lalu dan hasilnya dikongsikan menerusi laman rangkaian sosial.

Sebuah dokumentasri berbentuk filem pendek juga sedang dirancang. Peserta/krew terdiri daripada penduduk Kampung Chetti yang berminat menghasilkan dokumentari berkaitan perjuangan penduduk mempertahankan kampung warisan ini.

Rakaman video akan disunting dan dimuatkan ke blog Kaigal.com serta dikongsi menerusi laman rangkaian sosial untuk memberikan kesedaran kepada orang awam.

Orang ramai, wakil media, warga prihatin dan NGO pula diundang menghadiri sesi taklimat khas dan persembahan kebudayaan seperti dondang sayang bermula 4:00 petang.

Selain taklimat khas isu “Lot 93” dan sesi soal-jawab, orang ramai juga berpeluang menyertai rombongan melawat sekitar kampung. Sesi ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh peserta bengkel penulisan, fotografi dan dokumentari.

Saya tidak menolak kemungkinan akhbar arus perdana - seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian (misalnya) - kurang berminat membuat liputan aktiviti penting seperti ini semata-mata kerana ia anjuran Kavyan.

Namun begitu, seperti yang saya tegaskan kepada penduduk Kampung Chetti menerusi perbualan di Facebook sejak seminggu lalu, masih ada banyak media konvensional dan alternatif yang “ada telur” - meminjam frasa Ridhuan Tee Abdullah - untuk melaporkan kebenaran tanpa rasis dan perjudis.

Orang ramai boleh sahaja melayari www.kavyan.blogspot.com untuk mendapatkan serta berkongsi pelbagai maklumat lanjut mengenai acara Solidariti Kampung Chetti.

Apa yang penting, biarlah insiden “kehilangan” Lembah Bujang menjadi tamparan hebat kepada kita supaya lebih bertanggungjawab dan berani mendesak kerajaan memelihara dan memulihara warisan negara.

Sebagai warga prihatin, ayuh kita tunjukkan solidariti demi mempertahankan khazanah bangsa.

* This is the personal opinion of the columnist.