28 NOVEMBER ― Adik membeli sepasang seluar,
Corak serupa bersulam-sulam;
Sibuk membuli “musuh” di luar,
Umno terlupa musuh di dalam.
Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur boleh dianggap berjaya merobek topeng yang dipakai Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.
Dalam ucapan berapi-api dengan mimik muka yang sedikit menggerunkan, Shahrizat menegaskan bahawa Wanita Umno bersama-sama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (baca: Perkasa), golongan profesional (baca: Ridhuan Tee Abdullah) dan bukan profesional (baca: Isma) pelbagai kaum (baca: Kimma) bakal bergabung tenaga.
Mereka akan menganjurkan kempen mengumpul sejuta tandatangan sebagai usaha mendesak kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menghapuskan Akta Hasutan 1948. Tidak diketahui sama ada pekerja/sukarelawan dan orang yang menurunkan tandatangan akan dibayar atau tidak.
“Saya berharap Presiden Umno (ingat: bukan Perdana Menteri), Datuk Seri Najib Razak serta Kabinet akan berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk memansuhkan Akta Hasutan. Jangan menang sorak hari ini, kampung digadai pada hari esok. Nanti jika tangis air mata darah sekalipun, kampung tidak akan kembali lagi,” kata Shahrizat (Utusan Malaysia, 27 November 2014).
Pada pendirian “hero pujaan ramai gadis dan wanita Melayu”, Khairy pula, jika akta berkenaan dipinda atau ditambah baik, kerajaan BN mesti mengekalkan syarat-syarat melarang dan menghukum sebarang kenyataan atau kelakuan yang dianggap menghasut (baca: mengkritik Umno).
Menurut laporan Bernama (26 November 2014), Khairy menyifatkan syarat-syarat berkenaan sebagai “kuasa dan perisai tempat berlindung bukan hanya untuk Melayu (baca: Umno), tetapi untuk semua rakyat Malaysia (baca: BN).”
Saya sempat berbincang mengenai hal ini semasa bertemu Datuk Ambiga Sreenevasan di pejabat beliau pada petang 26 November 2014. Aktivis yang disegani itu ternyata kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh Shahrizat dan Khairy.
“Saya terkejut apabila mereka yang dianggap terpelajar, intelektual dan progresif mahu mempertahankan Akta Hasutan. Mereka ternyata mahu menonjolkan imej seolah-olah mempertahankan institusi raja, hak Melayu dan agama Islam.
“Ternyata mereka mahu dilihat sebagai pemimpin yang memperjuangkan hak orang Melayu dengan mempertahankan akta lapuk seperti ini. Pada zaman sekarang, Akta Hasutan sudah tidak relevan tetapi mereka masih mahu memanipulasi sentimen orang Melayu dan Umno untuk mendapatkan sokongan politik,” kata penerima International Women of Courage Award (2009) dan Chevalier de Lagion d’Honneur (2011) itu.
Akta lapuk dikekal, dipertahan, diperkuat
Ambiga yang merupakan bekas presiden Majlis Peguam Malaysia (2007-2009) berkali-kali menegaskan bahawa beliau tidak bersetuju dengan usul mengekalkan Akta Hasutan. Seksyen-seksyen yang terkandung di dalamnya secara terang-terangan tidak relevan dengan masa sekarang.
“Jika kerajaan mahu menjaga keamanan, tidak perlu pun ada akta ini kerana sudah ada pelbagai akta lain seperti Kanun Keseksaan. Apa yang saya bimbang dengan Akta Hasutan adalah bahawa ia menjadi satu cara menyekat kebebasan bersuara,” kata pejuang hak kemanusiaan itu sambil menyenaraikan beberapa contoh kes terbaru melibatkan ahli akademik, wartawan dan aktivis.
Orang ramai memang sedia maklum bagaimana akta itu digunakan secara meluas sepanjang tahun ini untuk menangkap, membicarakan dan menghukum beberapa individu yang didapati lantang bersuara menentang pemerintah dan kuasawan.
Umum juga tentu masih ingat bagaimana sebagai persiapan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (Mei 2013) dan usaha menyelamatkan BN yang hampir tidak dipercayai sesiapa, Najib pada 11 Julai 2012 mengumumkan bahawa Akta Hasutan akan dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut tampil berkata, pemansuhan akta itu adalah bukti “kerajaan bukan cakap kosong” (Berita Harian, 12 Julai 2012).
Malah pada September 2014, Najib yang terkenal sebagai “pakar tunjuk wayang” tampil mengulangi jaminan (baca: janji Melayu) bahawa Akta Hasutan akan dimansuhkan.
Seperti yang sepatutnya sudah dijangkakan, Bernama (27 November 2014) memetik Najib sebagai berkata, “Akta Hasutan akan terus dikekalkan. Malah akan dipertahan, diperkuat dan diperkukuhkan.”
Dua peruntukan khas dimasukkan pula bagi mengukuhkan akta berkenaan dengan tujuan melindungi kesucian agama Islam serta mendakwa sesiapa yang menghasut Sabah dan Sarawak keluar daripada Persekutuan Malaysia.
Kononnya keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat (baca: Umno) dan demi rakyat (baca: Umno). Khabarnya kesemua 2,752 perwakilan Umno berdiri dan melaungkan “Setuju!” mendengar berita gembira itu.
Penyokong Umno terlepas daripada akta?
“Inilah hasrat kita (baca: Umno) dan saya percaya rakan-rakan dalam pimpinan BN bersama kita dan kita mesti menguatkuasakan ini (Akta Hasutan) secara adil, supaya kita dapat mewujudkan negara Malaysia yang lebih aman, stabil dan harmoni,” kata Najib sewaktu menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan parti politik itu.
Serta-merta, polis yang sering disindir pihak tertentu sebagai “anjing kuasawan” atau “baruah Umno” tampil memuji keputusan mengekalkan Akta Hasutan. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkannya sebagai “tindakan tepat dalam usaha membendung tindakan pihak tertentu yang ketika ini secara terbuka menggunakan kebebasan bersuara secara salah” (Bernama, 27 November 2014).
Semasa perbualan kami pada 26 November 2014, Ambiga turut meluahkan kebimbangan terhadap cara Akta Hasutan digunakan. Pada penelitian peguam berpengalaman ini, ia tidak digunakan secara adil.
Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak bercakap tentang Akta Hasutan seperti seorang peguam. — Foto oleh Yusof Mat Isa
“Kita dapat perhatikan sendiri, tidak semua orang yang melakukan hasutan dikenakan tindakan. Misalnya Ibrahim Ali, Perkasa, Isma dan Ridhuan Tee. Hanya mana-mana individu yang mengkritik kuasawan dan pemerintah dituduh di bawah akta ini. Ternyata Akta Hasutan dipergunakan dan diperalatkan untuk menekan sesiapa yang berani mengkritik kerajaan,” tegasnya.
Ambiga juga hairan mengapa Umno tiba-tiba bermati-matian mahu mempertahankan Akta Hasutan. Isu atau topik ini tidak pernah ditimbulkan dalam mana-mana perhimpunan agung Umno sebelum ini. Pasti ada udang di sebalik batu.
Majlis Peguam Malaysia mengadakan program “Berjalan Untuk Keamanan” pada 16 Oktober 2014 sebagai sebahagian kempen “Mansuhkan Akta Hasutan”. Pelbagai kempen sama dilakukan di beberapa tempat. Laman rangkaian sosial juga menjadi medium berkempen demi mempertahankan hak dan kebebasan bersuara yang dilindungi undang-undang antarabangsa.
Kempen berterusan dilakukan oleh pelbagai pihak yang menyedari apa yang sedang berlaku. Malangnya, kelompok ini sering dilabel sebagai puak liberal dan plural; seolah-olah menentang ajaran agama Islam dan menyalahi undang-undang negara.
Ambiga mengakui bahawa Majlis Peguam, aktivis dan pelbagai NGO yang memperjuangkan kebebasan bersuara perlu memikul tanggungjawab memberikan penerangan dan penjelasan kepada masyarakat mengenai kandungan sebenar Akta Hasutan.
Khairy, si jejaka kacak harapan bangsa
“Apabila kita mengikuti ucapan di persidangan agung Umno, ternyata Shahrizat dan Khairy serta para perwakilan lain tidak menjelaskan mengenai kandungan Akta Hasutan secara mendalam. Sebaliknya mereka hanya berkempen dan cuba meraih sokongan perwakilan untuk mengekalkan akta itu.
“Media arus perdana (televisyen, radio dan akhbar) melaporkan kata-kata mereka sebagai berita utama. Orang ramai disogokkan dengan maklumat palsu kononnya jika Akta Hasutan dimansuhkan, maka negara akan huru-hara. Taktik kotor menakut-nakutkan orang ramai seperti digunakan Umno amat mengecewakan saya,” Ambiga mengakui.
Antara sebab beliau kecewa adalah kerana Shahrizat dan Khairy bukan budak hingusan atau lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti kebanyakan politikus, juak-juak dan tukang sorak politik.
Shahrizat yang lahir di Pulau Pinang mendapat ijazah perundangan (LLB) dari Universiti Malaya. Anak mami (India Muslim) ini juga berpengalaman luas dalam bidang perundangan sebelum melibatkan diri dalam “lubuk emas” yang dinamakan politik Malaysia.
Bekas menteri ini menjadi nama yang dikenali ramai selepas Laporan Ketua Audit Negara (2010) mendedahkan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang ada kaitan dengannya menerima pinjaman mudah RM250 juta dan tanah 5,000 ekar secara tidak betul.
Khairy pula menjadi kegilaan sejumlah wanita Melayu (yang sudah berkahwin) sebaik dia menjadi Mentri Belia dan Sukan (2013) serta sering turun padang memakai pakaian sukan dan kasual.
Dia yang pernah menuduh kaum Cina akan “mengambil untung ke atas kaum Melayu jika Umno lemah” (The Star Online, 21 Ogos 2006) mendapat pendidikan di United World College of South East Asia, Singapura; Universiti Oxford, United Kingdom; dan University College, London.
Graduan bidang falsafah, politik dan ekonomi (PPE) serta pemegang ijazah sarjana teori undang-undang dan politik ini dianggap bakal membawa pembaharuan dalam arena politik Malaysia.
Khairy disangka akan memecahkan tembok perkauman dan meninggalkan semangat rasisme, etnosentrik, ultra kiasu, fanatik, pentaksub dan pelampau yang sudah mendarah-daging dalam kalangan politikus BN.
MIC, MCA, Gerakan hanya tahu mengangguk
Malangnya, seolah-olah taktik “menakut-nakutkan dengan hantu yang tiada” turut digunapakai oleh Shahrizat dan Khairy untuk memastikan orang Melayu (Umno) terus menjadi seperti lembu yang dicucuk hidung. Boleh ditarik ke mana-mana.
Apa tidaknya? Para perwakilan berjaya diyakinkan bahawa Akta Hasutan adalah “benteng terakhir bagi membendung perkara sensitif yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan daripada diperkotak-katikkan selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan” (Bernama, 26 November 2014).
Tuhan Maha Berkuasa! Menerusi perhimpunan agung Umno kali ini, orang ramai yang masih waras diberikan ruang dan peluang untuk melihat wajah sebenar politikus Umno yang nampak gaya, “dulu, kini dan selama-lamanya” hanya pandai bersandiwara demi mengekalkan kuasa.
Shahrizat misalnya bersandiwara dengan meluahkan harapan penggubalan Akta Keharmonian Nasional diteruskan “dengan menggariskan peruntukan yang bertujuan menggalakkan perasaan muhibah sesama kaum dan keharmonian nasional yang lebih bersifat saling hormat-menghormati” (Utusan Malaysia, 27 November 2014).
Apa akan berlaku kepada Akta Keharmonian Nasional jika Akta Hasutan dikekalkan? Sharizat bersikap ultra kiasu dengan menyarankan “kerajaan wajar meneruskan rancangan untuk mewujudkan Akta Keharmonian Nasional tetapi dalam masa yang sama juga harus mengekal dan menambah baik Akta Hasutan” (Bernama, 26 November 2014).
Muhyiddin pula lebih “setia” dan “patuh” pada keputusan Najib yang mahu mengekalkan Akta Hasutan. Katanya, “kerajaan perlu mempertimbangkan semula cadangan menggubal Akta Keharmonian Nasional” kerana kedua-dua akta mempunyai tujuan sama (Bernama, 27 November 2014).
Sambil itu, Muhyiddin tidak lupa mengambil peluang menghasut perwakilan supaya tidak berkompromi dengan golongan yang “membawa ideologi songsang seperti liberalisme atau sekularisme” (Umno Online, 25 November 2014).
Parti-parti komponen BN pasti akan akur, tunduk dan angguk sahaja pada keputusan Umno dalam hal pemansuhan sekolah vernakular dan pengekalan Akta Hasutan bagi memastikan Umno terus berkuasa. Apa lagi yang boleh diharapkan daripada mereka? Apa lagi yang mampu mereka lakukan?
“Tetapi dalam keghairahan kita menyambut baik pengekalan Akta Hasutan, saya ingin mengingatkan ahli-ahli Umno bahawa Akta Hasutan bukanlah alat untuk diguna bagi mengekalkan kekuasaan Umno. Kekuasaan dan kekuatan Umno datangnya daripada sokongan rakyat. Ingatlah, jika rakyat sudah tidak menyokong kita, tiada rang undang-undang di bumi Allah ini yang akan menyelamatkan Umno daripada kehilangan kuasa.”
Demikian catatan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di blognya (Pak Lah, 27 November 2014). Kita nantikan apakah pula reaksi daripada rakyat bijaksana yang merupakan pengundi dan pihak yang paling berkuasa dalam sistem demokrasi.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.
You May Also Like