24 NOVEMBER — Mahkamah Rayuan pada 7 November 2014 memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (“lelaki Islam berpakaian dan berkelakuan seperti wanita”) melanggar Perkara 5(1), 8(1), 8(2), 9(2) dan 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara, pergerakan dan hak hidup secara terhormat.
Walaupun perlembagaan diwujudkan untuk melindungi minoriti daripada kezaliman majoriti, keputusan kes ini berhubung transgender dikhuatiri akan “membuka laluan” kepada pelbagai tuntutan lain “yang tidak berasas” daripada kelompok lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan pejuang pluralisme.
Demikian hujah pihak tertentu. Misalnya, sudah ada jenaka tersebar di laman rangkaian sosial bahawa menjelang sesi persekolahan baru 2015, guru-guru perlu bersabar jika ramai pelajar lelaki tiba-tiba muncul berpakaian seragam perempuan.
Dalam pada itu, agak menarik untuk diperhatikan bahawa pada tarikh sama Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman, Putrajaya membuat keputusan (7 November 2014), suatu kejadian berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).
Saya dimaklumkan bahawa Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB) mengeluarkan surat rasmi berupa pekeliling mengarahkan pekerja transgender di semua premis perniagaan di KLIA tidak berpakaian wanita.
Seorang aktivis transgender, Sharan Manthira Naidu memaklumkan bahawa isu itu berjaya diselesaikan berikutan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak.
MAHB mengarahkan pekerja transgender di premis perniagaan KLIA tidak berpakaian wanita. — Gambar fail
Walau bagaimanapun, khabarnya MAHB hanya menarik balik arahan itu untuk sementara waktu. Maknanya, mungkin pekeliling dikeluarkan semula dan peraturan dikuatkuasakan semula.
Amat menghairankan apabila antara alasan yang diberikan oleh orang untuk menolak kehadiran golongan transgender adalah dengan mengatakan bahawa wanita rasa terancam apabila terpaksa berkongsi tandas dengan transgender.
Seperti yang kita semua sedia maklum, terdapat bilik-bilik dan ruang khas berpintu untuk setiap individu di tandas. Maka, agak sukar untuk membayangkan bagaimana wujud ancaman. Tambahan pula, transgender terbukti secara saintifik dan perubatan tidak ada naluri atau tertarik kepada wanita.
Antara pandangan mufti dan pakar psikiatri
“Transgender bukanlah suatu kesalahan pada pendapat saya. Terdapat banyak lagi isu dan masalah sosial serta moral yang perlu diteliti berbanding menuding jari kepada golongan transgender. Misalnya, masalah pelajar institusi pengajian tinggi terlibat dalam gangsterisme, bohsia, mat rempit dan sebagainya,” kata Viki, seorang suri rumah dari Shah Alam dalam komennya pada dinding Facebook saya.
Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah 1992 (Negeri Sembilan) menetapkan bahawa mana-mana lelaki Islam yang memakai pakaian wanita atau berkelakuan seperti wanita di tempat awam adalah bersalah.
Media arus perdana dikatakan sering mensensasikan berita mengenai mak nyah. — Gambar fail
Isu timbul apabila Mahkamah Tinggi Seremban pada 11 Oktober 2012 menolak permohonan tiga transgender yang disahkan mengalami Gender Identity Disorder (GID). Seksyen 66 pula tidak memberikan pengecualian kepada individu yang disahkan mengalami GID.
Ketiga-tiga lelaki Islam terbabit berulang kali ditahan, ditangkap dan didakwa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan mengikut Seksyen 66.
Mahkamah Rayuan (7 November 2014) memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Seremban (11 Oktober 2012) gagal mengambil kira laporan perubatan yang dikemukakan oleh Dr Ang Jin Kiat, seorang pakar psikiatri, dan Dr Deva Dass, pakar perunding psikiatri dalam isu GID.
Hujah yang diambil kira Mahkamah Tinggi Seremban adalah pandangan Mufti Negeri Sembilan yang berpendapat larangan seseorang lelaki Islam memakai atau berlagak seperti wanita adalah rukun Islam, dan kesalahan di bawah Seksyen 66 juga sejajar rukun Islam.
Maka, tidak hairanlah ada pihak yang melahirkan kebimbangan bahawa keputusan kes pada 7 November 2014 mungkin membuka laluan kepada pelbagai masalah melibatkan golongan transgender.
“Saya rasa pihak tertentu yang menjaja cerita kononnya pemansuhan Seksyen 66 akan membuka laluan kepada pelbagai tuntutan ‘gila’ seperti perkahwinan sejenis di Malaysia adalah fantasi dan ilusi mereka semata-mata. Saya rasa ilusi dan fantasi golongan ‘straight’ sebenarnya lebih ‘sakit’ berbanding realiti golongan LGBT,” Bintang D’Zie yang berasal dari Kangar meluahkan pandangan.
Mengulas lanjut, pengusaha industri makanan itu berkata, ramai yang melihat LGBT, terutama mak nyah (transgender) sebagai golongan yang kotor dan tidak bermoral.
Kekeliruan masyarakat dan peranan media
“Apabila disebut mak nyah, mereka dengan segera mengaitkannya dengan pelacuran. Memanglah benar ada mak nyah menjadi pelacur tetapi anak-anak kepada golongan pengkritik yang ‘suci’ itu juga mungkin terlibat dengan zina dan kes buang bayi. Jadi, apa bezanya?” Aktivis yang memperjuangkan hak transgender itu berhujah.
Seorang lagi individu yang tampil mengemukakan pandangannya menerusi mesej peribadi kepada saya ialah Manis Chen. Katanya, masyarakat keliru dan dikelirukan dengan tajuk-tajuk berita di media tempatan yang menggunakan istilah “lelaki” apabila merujuk kepada golongan mak nyah.
“Tindakan ini menimbulkan salah faham serta kekhuatiran yang mendalam kepada masyarakat; khususnya kerana keputusan mahkamah terbaru itu berkaitan pula dengan Islam, iaitu agama yang dianuti majoriti pembaca akhbar arus perdana,” kata eksekutif sumber manusia itu.
Seperti yang dihuraikannya, golongan mak nyah (transgender) membuat bantahan agar undang-undang berkenaan tidak boleh digunapakai ke atas mereka (mak nyah) kerana pertuduhan yang dirangkumi adalah terhadap lelaki yang berpakaian seperti wanita (cross-dresser).
Keputusan kes pada 7 November 2014 menjadi mercu tanda penting bagi golongan transgender. — Gambar oleh Saw Siow Feng
Malangnya, golongan mak nyah yang mengalami GID juga tercatat sebagai “lelaki” pada sijil kelahiran dan kad pengenalan. Kekaburan pada Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah menyebabkan mereka ditindas, dihina, dianiaya, dizalimi dan dijadikan mangsa ketidakadilan.
“Sekiranya mak nyah diiktiraf sebagai wanita atau sekurang-kurangnya tidak direkodkan sebagai lelaki, maka tidak timbul keperluan untuk golongan mak nyah mencabar Seksyen 66 dan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban.
“Jika masyarakat mampu memahami kesukaran yang dialami para mak nyah untuk menjalani kehidupan seharian akibat kekangan undang-undang syariah, mungkin masyarakat akan memahami dan menyokong tuntutan perundangan yang dilakukan ketiga-tiga mak nyah dalam kes ini,” kata Manis Chen yang berasal dari Kuala Kangsar.
Beliau berharap media memainkan peranan menjelaskan isu, kesan dan akibat daripada keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 November 2014 secara profesional dan objektif.
“Media perlu bertanggungjawab dalam menyiarkan berita agar tidak menghasut atau menyesatkan masyarakat dengan melaporkan berita secara sensasi. Malangnya, kebanyakan media arus perdana dan media popular mensensasikan berita dengan melaporkan ‘pondan dibenarkan berpakaian wanita’ tanpa memberikan fakta sebenar,” katanya.
Perjuangan minoriti yang belum selesai
Sementara itu, golongan agamawan pula didapati hanya bercakap melalui minda yang terkongkong di bawah parameter nilai agama yang mereka miliki. Demikian pandangan Larry Emong Liang menerusi mesejnya kepada saya dalam membicarakan topik ini.
“Mereka lebih bersikap tertutup dan menjaga nilai-nilai itu. Mereka yang hidup dengan minda tertutup dan ‘kampung’ juga mendukung suara yang menolak kelainan.
“Justeru, kita tidak boleh mendesak golongan agamawan seperti itu menerima sesuatu yang tidak boleh diterima oleh minda mereka. Itu hak mereka. Kita harus memahami mengapa mereka bersikap begitu,” katanya.
Larry juga berpandangan bahawa golongan transgender Melayu (seperti dalam kes mahkamah ini) harus dibenarkan meneruskan hidup asalkan mereka tetap berpegang pada nilai moral serta tidak mencabar nilai agama rasmi (Islam) yang didukung kaum majoriti (Melayu).
“Didikan agama (Islam) haruslah diperkukuhkan oleh agamawan yang berilmu. Kita jangan hanya tahu membantah atau menghukum apabila masalah sudah menjadi terlalu sukar dibendung,” katanya.
Saya pernah menemuramah seorang mak nyah dan seorang pak nyah, lalu mempelajari pelbagai perkara yang mustahil diketahui menerusi media arus perdana dan akhbar-akhbar yang mementingkan berita sensasi.
Siri makalah yang saya tulis berdasarkan kedua-dua wawancara itu boleh dirujuk di www.uthayasb.blogspot.com untuk manfaat semua. Masalah hanya timbul apabila kita tidak tahu, tidak mengambil tahu dan terus bersikap bodoh sombong.
Kes penindasan pekerja transgender di KLIA tentulah hanya satu contoh kecil tetapi bukan insiden terpencil. Keganasan, kezaliman dan pencabulan hak golongan minoriti (transgender) berlaku di mana-man dan atas macam-macam alasan.
Amat mengecewakan apabila semua itu turut dilakukan kuasawan, agamawan dan beberapa pihak yang sepatutnya memberikan perlindungan kepada anggota masyarakat tanpa mengira kaum, agama, pendidikan, politik dan gender.
Mengikut laporan Bernama (10 November 2014), Kerajaan Negeri Sembilan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan alasan “Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah perlu dilihat dari segi aspek agama (Islam), bukannya aspek-aspek yang lain.”
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa semua majlis agama Islam di negeri-negeri lain turut mencelah (interject) dalam rayuan itu nanti bagi menguatkan kes.
Apa yang diharapkan adalah apabila kes berkaitan Enekmen 66 dibawa ke Mahkamah Persekutuan, orang ramai sudah mendapat pencerahan dan cahaya ilmu sebenar supaya tidak boleh ditipu, dimanipulasi dan diperbodohkan pihak tertentu yang berniat jahat untuk menzalimi minoriti.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.
You May Also Like