Opinion
Selamatkan Ashram, hapuskan Chetti

NOVEMBER 19 — Antara topik paling hangat dalam kalangan masyarakat India masa sekarang adalah perjuangan mempertahankan Vivekananda Ashram di Brickfields, Kuala Lumpur.

Perkembangan isu ini menjadi lebih menarik dan hangat apabila Pemuda MIC turun padang serta menyeru orang ramai turut serta. (Pada waktu itulah juga saya berhenti berkempen kerana tidak mahu “mengganggu” kerja mereka.)

Advertising
Advertising

Hal ini segera mengingatkan kita kepada “usaha” Pemuda MIC turun ke Lembah Bujang, Kedah selepas suatu candi dimusnahkan pemaju pada tahun lalu.

Ketua Pemuda MIC Kebangsaan menyerahkan memorandum bertajuk “Isu Perobohan Chandi di Lembah Bujang yang Menjadi Tapak Sejarah Dunia dan Kebangsaan Malaysia” kepada setiausaha sulit kanan mentri besar Kedah pada 3 Disember 2013.

Usahlah ditanya apa lagi yang sudah dilakukan selepas sekumpulan pemuda terbabit bergambar beramai-ramai sambil memegang serpihan batu candi dan memuatkan foto di laman Facebook “1 Million Likes To Save Bujang Valley”.

Semakan pada 18 November 2014 menunjukkan laman berkenaan disukai (“like”) 22,955 orang sahaja serta sekadar diisi pelbagai iklan dan promosi Malaysian Urban Retreat Festival (Murfast) yang tiada kaitan dengan isu Lembah Bujang.

Pemuda MIC Kebangsaan yang “turun” ke Kedah dalam isu Lembah Bujang memilih untuk tidak melakukan perkara sama dalam kes Kampung Chetti yang terancam akibat projek pembinaan bangunan pencakar langit di Lot 93. Tugas diserahkan kepada Pemuda MIC Melaka.

Semasa kunjungan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) ke perkampungan warisan itu pada 15 Disember 2013, kami dimaklumkan bahawa presiden dan timbalan presiden MIC sudah ditemui wakil penduduk tetapi tiada sebarang reaksi positif.

Dalam pada itu, apa yang mampu Pemuda MIC Melaka lakukan hanyalah salin dan tampal (copy and paste) kenyataan media Kavyan bertarikh 16 Disember 2013 dan menyerahkannya sebagai memorandum kepada Ketua Menteri Melaka pada 20 Disember 2014.


Bangunan ashram ini umpama ‘lubuk emas’ yang menarik perhatian semua. — Foto oleh Haresh Deol

Menteri kabinet turun padang

Berbalik kepada kisah perjuangan menyelamatkan Vivekananda Ashram daripada dijadikan tapak projek bangunan 23 tingkat, tentulah ia suatu usaha yang amat baik dan wajar mendapat sokongan masyarakat pelbagai kaum.

Pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf), P. Waythamoorthy mewakili lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan petisyen di pejabat Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) di Wisma UN Malaysia pada 5 November 2014.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz juga berjaya “dipujuk” supaya melawat tapak bangunan ashram (asrama) berusia lebih 100 tahun itu pada 6 November 2014.

Seperti lazim, tidak sah kalau politikus tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan “muluk dan sedap didengar” kepada wakil media yang kelaparan untuk melaporkan sesuatu untuk tatapan orang ramai.

Laporan Bernama (6 November 2014) menyebut, tawaran kepada Lembaga Vivekananda Ashram pada 13 November 2008 untuk mewartakan bangunan berkenaan sebagai tapak warisan telah ditolak.

“Warisan tidak mengenal warna. Ini adalah legasi Malaysia. Semangat dan perhatian yang sama akan diberikan terhadap mana-mana tapak warisan; tidak kira ia berkaitan Islam atau Hindu atau Buddha.

“Sekali ia hilang, maka ia akan hilang buat selama-lamanya,” kata Nazri (Malay Mail Online, 17 November 2014).


Foto ‘kejayaan’ Pemuda MIC dipaparkan di laman ‘1 Million Likes To Save Bujang Valley’. — Foto oleh Uthaya Sankar

Kini, berikutan perjuangan kental Pemuda MIC, kerajaan tidak menolak kemungkinan membawa isu bangunan tersebut ke mahkamah, seperti diakui Nazri.

Semangat berkobar-kobar seperti ini bukanlah sesuatu yang baru dalam kalangan politikus.

Sebagai Badut Paul Lathic, mereka perlu melakukan persembahan menarik dari semasa ke semasa bagi memastikan sarkas mereka terus mendapat sambutan dan perhatian orang ramai.

Penonton akan bertepuk riang menyaksikan persembahan hebat penuh licik dan manipulasi oleh badut.

Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran

Penonton tahu bahawa mereka sedang ditipu bulat-bulat tetapi atas dasar mahu mendapatkan hiburan, kepuasan, keyakinan dan kemenangan sementara, mereka memberikan tepukan gemuruh kepada badut.

Apabila persembahan tamat dan para badut (politikus) menanggalkan topeng lalu kembali ke dalam khemah masing-masing, penonton sudah lupa tentang segala janji di pentas.

Esok atau lusa, Badut Paul Lathic akan muncul dengan persembahan baru — atau mengulang persembahan lama — dan penonton yang sama akan datang semula untuk menjadi mangsa penipuan berulang.

Segala perbandingan yang dilakukan ini bukanlah bertujuan memperkecilkan atau menyindir politikus. Sebaliknya sekadar menyatakan kebenaran dan realiti berdasarkan pemerhatian dan analisis.

Bercakap mengenai usaha memperjuangkan “warisan”, orang ramai mungkin sudah pun lupa akan janji dan jaminan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung Hutan Hujan Belum-Temenggor di Gerik, Perak.

Menurut laporan Bernama (9 Mei 2014), Najib meminta agensi berkaitan mengkaji kemungkinan kawasan seluas 300,000 hektar itu diberikan pengiktirafan sebagai tapak warisan dunia.

Malah, Najib memberi jaminan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) akan berusaha membangunkan kawasan itu sekiranya ia memenuhi kriteria sebagai tapak warisan dunia.

Apabila persembahan tamat dan badut menanggalkan topeng lalu kembali ke dalam khemah, penonton sudah lupa tentang segala janji di pentas.

Tentu “agensi berkaitan” yang dimaksudkan tidak melakukan apa-apa kerana mereka sudah masak dengan janji politik dan janji dicapati yang menjadi makanan seharian politikus.

Sepertimana dinyatakan dalam kenyataan media bertarikh 10 Mei 2014, Kavyan berharap tindakan kerajaan BN pimpinan Najib tidak menjadi umpama yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Hal ini demikian kerana pada masa sama, Kampung Chetti yang sudah menerima pengiktirafan sebagai perkampungan warisan Unesco sedang secara amat nyata berdepan kemusnahan yang berlaku di depan mata.


Tinjauan pada 16 November 2014 mendapati pembinaan di Lot 93 berjalan tanpa sekatan. — Foto oleh Uthaya Sankar

Kampung Chetti dianak tiri

Pemuda MIC Kebangsaan yang beria-ia turun padang untuk menyelamatkan Lembah Bujang dan Vivekananda Ashram tidak sedikit pun menunjukkan minat terhadap Kampung Chetti walaupun Kavyan melakukan pendedahan demi pendedahan sejak pertengahan Disember 2013.

Segala maklumat berkaitan terdapat di www.kampungchetti.blogspot.com untuk rujukan umum. BN, MIC dan Ketua Menteri Melaka tiada alasan untuk berkata “tak tau”.

Menteri-menteri dan timbalan menteri yang bersemangat turun padang untuk mahu mendapatkan liputan media … err, mahu menyelamatkan Vivekananda Ashram … tidak pula kelihatan di Kampung Chetti walaupun penduduk membuat rayuan demi rayuan.

Jaminan terbaik yang mampu diberikan Exco Kerajaan Negeri Melaka merangkap pengerusi MIC Melaka adalah bahawa projek di Lot 93 tidak masuk ke dalam kawasan Kampung Chetti.

Maka, pada logik akal politikus itu, tidak ada apa-apa masalah walaupun projek pembinaan pangsapuri 22 tingkat dan hotel 12 tingkat secara terang-terangan melanggar peraturan Unesco dalam pengiktirafan Kampung Chetti sebagai perkampungan warisan.

Politikus tetap politikus. Apa-apa yang berlaku tentulah tidak menghairankan dan tidak perlu dihairankan.

Penduduk Kampung Chetti hanyalah golongan miskin yang tidak memiliki lubuk harta yang banyak untuk digali.

Berbeza pula dengan Vivekananda Ashram yang kaya dan perlu “dilindungi” oleh politikus supaya “lubuk harta” tidak “dicuri” orang luar.

Penduduk Kampung Chetti tidak tahu Bahasa Tamil sedangkan MIC kononnya parti politik tunggal bagi kaum India yang memperjuangkan supaya Bahasa Tamil terus hidup di negara bertuah ini.

Penduduk Kampung Chetti adalah orang Bukan Melayu dan Bukan Islam. Mereka teguh dengan budaya India dan agama Hindu. Maka, masakan BN yang diterajui Umno akan berminat turun padang. Nanti Perkasa, Isma, Utusan Malaysia dan Riduan Tee Abdullah marah.

Bahan kempen menjelang PRU-14

Pada 17 November 2014, Nazri memberitahu sidang Parlimen bahawa notis akan difailkan di pejabat tanah pada bulan depan dalam usaha menggazetkan bangunan Vinekananda Ashram sebagai tapak warisan.

Kalau semuanya berjalan lancar, menjelang Oktober 2015, kementerian terbabit akan membuat keputusan.

Demikianlah kehidupan harian para badut dalam sarkas politik. Orang ramai akan bertepuk riang dengan penuh harapan apabila menyaksikan persembahan Badut Paul Lathic.

Apabila persembahan selesai, badut akan kembali ke dalam khemah politik dan menanggalkan solekan sambil ketawa sendiri mengenangkan penduduk/penonton yang bodoh dan mudah ditipu.

Persembahan akan diteruskan lagi pada esok, lusa, tulat. Macai, juak-juak dan pengampu politik akan membuat persembahan sampingan untuk memberikan gambaran seolah-olah Badut Paul Lathic memang mengambil berat dan mampu melakukan apa yang dijanjikan pada poster.

Penonton akan terus terpaku dan terpukau. Mereka tidak sedar bahawa persembahan itu sama sahaja setiap hari; sejak puluhan tahun lalu. Ada orang yang sedar tetapi masih tetap terpaku.

Persembahan sarkas politik diteruskan dan dipanjangkan umpama drama bersiri Tamil di Astro Vannavil tanpa sebarang penyelesaian. Kempen dirancakkan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Pengundi akan terus menutup mata dan mengundi mana-mana badut yang bertanding atas tiket BN demi perjuangan menyelamatkan Vivekananda Ashram.

Lembah Bujang? Orang India mudah lupa. Mereka sudah lupa. Apa yang masih ada dalam ingatan hanyalah laman Facebook “1 Million Likes To Save Bujang Valley”.

Hutan Hujan Belum-Temenggor? Entah-entah Najib pun sudah lupa tentang teks ucapan yang hanya dibacakannya pada suatu majlis, Mei lalu. Semuanya umpama janji politik; janji dicapati.

Penduduk Kampung Chetti? Kerajaan tidak perlu risau kerana penduduk di situ pasti terus mengundi calon BN pada setiap pilihan raya, walaupun selepas perkampungan warisan itu sudah pupus dan hanya tinggal nama.

Saya mencabar BN, MIC, Nazri dan Kerajaan Melaka supaya tampil membuktikan sebaliknya.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online. 

Related Articles

 

You May Also Like