27 OKTOBER — Baru-baru ini timbul isu seorang individu memaparkan foto polis trafik menyaman pemandu kereta berserta panggilan “monyet”.
Di pihak yang satu lagi, kita selalu bertemu orang awam yang suka menggunakan kata ganti diri kedua “Datuk” dan “tuan” apabila bertemu polis, walaupun hanya konstabel atau lans koperal.
Baru-baru ini timbul isu seorang individu memaparkan foto polis trafik menyaman pemandu kereta berserta panggilan ‘monyet’.
Antara pengalaman awal saya berdepan dengan anggota polis adalah sekitar pertengahan 1993, iaitu hampir dua tahun selepas saya sekeluarga berpindah dari Taiping, Perak ke Klang, Selangor.
Saya sedang menunggang motosikal dari Kuala Lumpur menuju ke Klang apabila ditahan polis di suatu sekatan jalan raya di lorong motosikal Lebuh Raya Persekutuan berdekatan Angkasapuri. (MidValley Megamall belum wujud pada waktu itu.)
Saya tidak pasti sama ada sekatan jalan itu melibatkan kumpulan polis biasa atau polis trafik. Tambahan pula ini kejadian lebih dua dekad lalu dan saya sesungguhnya tidak memiliki daya ingatan yang baik sejak kemalangan pada 26 Februari 1994.
Polis yang menahan saya menyemak lesen dan cukai jalan. Saya hanya menggunakan gelaran “encik” apabila bercakap dengan beliau.
Saya berterus-terang memberitahunya bahawa saya berasa gembira kerana itulah kali pertama saya ditahan polis sejak saya mendapat lesen.
Pegawai polis itu mengelilingi motosikal saya sebelum mengumumkan bahawa plat nombor di bahagian belakang pecah.
Saya mendapati apa yang dikatakannya memang benar; saya baru menyedarinya.
Dipendekkan cerita, saya ditanya apa yang mahu saya lakukan dan saya mengatakan bahawa saya akan menukar plat yang pecah itu.
Memandangkan saya memang tidak ada sebarang pengalaman, saya turut meminta nasihat polis itu sendiri.
Pengalaman ‘ditahan’ polis
Kata pegawai polis berkenaan, kalau saya disaman, saya perlu pergi membayar saman di balai. Tetapi polis itu berbesar hati menawarkan saya peluang memudahkan urusan.
“Boleh settle di sini,” katanya dengan selamba. “Bayar lima puluh (ringgit).”
Dengan penuh naif, saya tertarik mendengar saranan dan cadangan yang diberikan kerana ia akan memudahkan urusan saya.
“Encik akan beri resit, bukan?”
Apabila ditanya mengapa, saya menjelaskan: “Kalau ada polis lain menahan saya sebelum saya sampai di Klang, saya boleh tunjukkan resit sebagai bukti saya sudah settle di sini.”
Entah mengapa saya dibenarkan meneruskan perjalanan tanpa perlu membuat apa-apa bayaran atau menerima sebarang saman.
Semasa bekerja sebagai penyunting berita Bahasa Malaysia di Radio Televisyen Malaysia (RTM), saya sering memandu pulang selepas tengah malam.
Ada satu laluan berdekatan Padang Jawa, Klang yang saya gunakan untuk mengelakkan membayar tol.
Walaupun ada lampu isyarat, jalan itu sentiasa lengang selepas tengah malam. Maka saya sering meneruskan perjalanan walaupun lampu merah – tentunya selepas memastikan tiada kenderaan lain.
Pada sekali itu, entah dari mana kereta peronda polis muncul dan menahan saya sebaik saya “melanggar lampu merah”.
Perkara pertama yang saya lakukan adalah menghentikan kereta, membuka pintu dan melangkah keluar dari dalam kereta.
Polis terbabit menasihatkan supaya saya duduk di dalam kereta dan dia boleh “berurusan melalui tingkap”. Saya menolak tawaran itu kerana amat tidak sopan.
Cukai jalan yang tidak dipamer
Apabila dimaklumkan bahawa saya boleh disaman kerana “langgar lampu merah”, saya menjelaskan bahawa insiden berlaku semasa tidak ada sebarang kenderaan lain dan saya “langgar lampu merah” tanpa mengganggu sesiapa.
Dua polis yang menahan saya menegaskan, mereka terpaksa mengeluarkan saman, dan saya pun akur.
Anehnya, mereka berkali-kali mengatakan tindakan saya “langgar lampu merah” adalah salah.
Saya bersetuju diberikan saman dengan catatan tambahan bahawa insiden “langgar lampu merah” berlaku semasa tidak ada sebarang kenderaan lain.
Selepas beberapa minit, entah mengapa kedua-dua polis itu memutuskan untuk “memaafkan” saya selepas memberikan nasihat “jangan buat lagi”.
Saya juga ada pengalaman beberapa kali ditahan polis (bukan polis trafik) di sekatan jalan raya kerana “tidak mempamerkan cukai jalan”.
Setiap kali perkara seperti itu berlaku, saya akan bertanya apa yang dimaksudkan dengan “mempamerkan” dan polis terbabit akan memandang saya dengan penuh hairan.
Memanglah kurang adil apabila saya mengharapkan polis mengetahui perbezaan antara “mempamerkan” dan “melekatkan”. Mereka bukannya pakar bahasa.
Sebenarnya, cukai jalan saya memang terpamer tetapi tidak dilekatkan pada cermin kereta. Hal ini kerana perbuatan melekat cukai jalan amat menyusahkan dan merosakkan cermin kereta.
Sekadar perbandingan, cukai jalan motosikal tidak dipamerkan secara terbuka. Sebaliknya hanya ditunjukkan apabila diminta pihak berkuasa.
Saya bukan takut akan polis
Satu lagi persoalan yang sering timbul dalam minda: Mengapa polis biasa — bukannya pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mahu menyemak cukai jalan.
Tetapi tidak mengapalah sama ada polis biasa, polis trafik atau petugas JPJ. Asalkan tidak melanggar peraturan dan undang-undang, serta tidak membabitkan sebarang perbuatan salah guna kuasa.
Setiap kali saya mendapati ada sekatan jalan dibuat, secara automatik saya tahu bahawa pegawai kerajaan sudah mendapat gaji.
Selalu juga saya mengucapkan tahniah dan terima kasih menerusi Facebook kepada polis biasa dan polis trafik yang setia membuat sekatan jalan pada setiap kali penjawat awam mendapat gaji.
Monyet menjadi polis di Thailand.
Saya mengandaikan bahawa tindakan proaktif itu bagi memastikan orang awam yang baru mendapat gaji tidak menjadi mangsa samun penjenayah yang tentu sahaja sentiasa menunggu peluang.
Saya membayangkan bahawa jika ada pun penjenayah yang berjaya menyamun wang penjawat awam, si penjenayah itu tidak mampu melarikan diri kerana sekatan jalan oleh polis ada di mana-mana.
Perkara itulah juga yang saya terangkan kepada anak setiap kali kereta kami “terperangkap” agak lama di laluan yang ada sekatan jalan oleh polis yang penuh dedikasi.
Satu lagi perkara yang sering berlaku adalah tindakan pemandu dan penumpang hadapan kereta tergesa-gesa memasang tali pinggang keledar apabila menyedari ada sekatan jalan.
Kelompok seperti itu adalah penakut. Mereka terlalu bodoh untuk memahami bahawa tali pinggang keledar bertujuan menyelamatkan nyawa; bukan untuk mengelakkan saman.
Setiap kali saya memandu, saya mewajibkan penumpang di sisi memakai tali pinggang keledar.
Pasti sahaja ada “mangkuk” yang memberikan alasan perjalanan kami tidak jauh, atau tiada “polis monyet”.
Orang “mangkuk” seperti itulah juga yang akan segera menggunakan kata ganti diri kedua “Datuk” dan “tuan” apabila ditahan polis.
“Saya bukan takut akan polis. Polis adalah sahabat kita. Saya cuma tidak mahu kamu mati di dalam kereta saya jika kita dilanggar orang.”
Kita sepatutnya sedar bahawa polis bukan Datuk, tuan atau monyet. Mereka juga penjawat awam yang wajar diberikan penghormatan yang sepatutnya sahaja.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.
You May Also Like