7 OKTOBER — Kata-kata Dr Krishanan Maniam semasa forum di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 29 September 2014 memang benar kerana nama saya juga “muncul” pada tahun 1994 menerusi Hadiah Cerpen Maybank-DBP Kategori A (Penulis Bukan Melayu). Begitu juga dengan Saroja Theavy Balakrishnan yang “lahir” hampir sedekad sebelum saya dalam bidang penulisan sastera Bahasa Malaysia.
Akan tetapi, persoalan penting yang wajar kita fikirkan adalah berapa ramai penulis kaum India yang lahir menerusi pertandingan menulis yang dikhaskan bagi “Penulis Bukan Melayu” berjaya menghasilkan lebih daripada tiga karya selepas menang pertandingan itu?
Kalaulah mereka hanya mampu menulis sekiranya diberikan “hak istimewa”, “kuota” dan “peluang khas” maknanya berlaku diskriminasi dan perbuatan tidak adil. Mereka seolah-olah dimenangkan atas dasar kasihan walaupun sebenarnya tidak layak.
Kalaulah benar individu itu berbakat dan mampu menghasilkan karya sastera Bahasa Malaysia, karya itu pasti akan tetap menang pertandingan atau tersiar di akhbar dan majalah tanpa perlu dimanjakan dengan kategori khas.
Dalam majalah Tunas Cipta (Oktober 2012), Raja Rajeswari Seetha Raman menyenaraikan 26 penulis kaum India yang muncul sejak 1930 dalam penulisan cerpen Bahasa Malaysia.
Dia menyebut di akhbar Mingguan Malaysia (26 Mei 2013) bahawa hanya ada empat penulis kaum India yang masih berkarya secara konsisten sehingga kini dalam menghasilkan karya Bahasa Malaysia.
Hal ini membuktikan bahawa segala “hak istimewa”, “kuota” dan “peluang khas” tidak ada apa-apa makna dan kesan jika individu terbabit tidak mempunyai bakat dan minat menghasilkan karya bermutu.
Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan menimbulkan isu sekolah jenis kebangsan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) yang mungkin dilihat sebagai “alasan” untuk mewajarkan pembahagian kategori “Penulis Melayu” dan “Penulis Bukan Melayu”.
Pandangan seperti ini memang sudah banyak kali dikemukakan oleh pelbagai kelompok yang tanpa segan-silu merayu simpati supaya penulis kaum India dan Cina diberikan “keistimewaan” untuk mampu meraih kejayaan.
Pelajar sekolah Cina juga mampu menguasai Bahasa Malaysia.
Kenyataan seperti ini, walaupun kelihatan seolah-olah menyokong penulis yang belajar di SJKC dan SJKT, sebenarnya merupakan penghinaan amat besar. Seolah-olah kedudukan bekas murid SJKT dan SJKC adalah selama-lamanya beberapa tangga di bawah murid sekolah kebangsaan (SK).
Masih ada yang merayu peluang istimewa
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada 1999 ada banyak pengalaman mengendalikan aktiviti Bahasa Malaysia di SK, SJKT dan SJKC. Kami mendapati ramai murid SJKC dan SJKT mempunyai penguasaan Bahasa Malaysia lebih baik daripada “penutur asli bahasa Melayu” di SK.
Dalam pada itu, para penulis pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak tidak pernah merayu-rayu dan meminta-minta diberikan “keistimewaan” dan “peluang khas” atas nama Penulis Bukan Melayu untuk mampu berjaya dalam bidang penulisan.
Pada masa sama, jangan lupa bahawa SJKT, SJKC atau SK bukan penentu seseorang menjadi penulis Bahasa Malaysia. Usahlah kita menghina lepasan SJKT dan SJKC dengan mengatakan mereka tidak layak menulis karya Bahasa Malaysia kerana tidak mampu menguasai bahasa itu.
Seperti dinyatakan oleh Dr Ramzah Dambul pada forum bertajuk “Perlukah Ada Lagi Konsep Penulis Melayu dan Bukan Melayu dalam Kesusasteraan Kebangsaan Masa Kini?”, rata-rata penulis Sabah dan Sarawak yang berkarya dalam Bahasa Malaysia bukannya berdarah Melayu dan bukan penutur asli bahasa Melayu.
Kalaulah para penulis “Bukan Melayu” di Sabah dan Sarawak mampu bersaing setaraf penulis Melayu dan mampu pula meraih kejayaan dan kecemerlangan yang membanggakan, mengapa pula penulis “Bukan Melayu” (khasnya Cina dan India) di Semenanjung Malaysia mahu diberikan hak istimewa?
Semasa forum di DBP, Krishanan memetik pandangan Dr Mohd Saleeh Rahamad pada Simposium Penulis Pelbagai Kaum di Perlis pada 2002 di mana Saleeh memuji beberapa penulis kaum India yang mampu menghasilkan karya Bahasa Malaysia setanding penulis kaum Melayu.
Namun begitu, Krishanan masih mahu kategori “Penulis Bukan Melayu” dikekalkan dalam pemilihan karya (pertandingan atau siaran atau peluang berbengkel) bagi melahirkan lebih ramai penulis kaum India.
Pandangan ini tentu sahaja amat ironis kerana penulis kaum India diakui sudah setanding penulis kaum Melayu, tetapi beliau masih merayu peluang istimewa diberikan kepada penulis kaum India.
Sejak 1970-an, pelbagai peluang, ruang dan keistimewaan sudah diberikan oleh DBP (misalnya) untuk menggalakkan kelahiran penulis kaum India. Ini hakikat yang tidak boleh dipertikaikan. Akan tetapi, di manakah hasilnya?
Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam bidang penulisan sejak 1991, saya menegaskan bahawa label dan peluang istimewa atas nama “Penulis Bukan Melayu” tidak akan mampu menghasilkan lebih ramai penulis kaum India dalam sastera bahasa kebangsaan.
Dengarlah rayuan Raja Rajeswari
Rajeswari yang pernah lantang berhujah mahu terus dikenali sebagai “Penulis Bukan Melayu” (2003) kini bangkit meluahkan perasaannya dengan penuh emosi semasa forum terbaru yang berlangsung di Dewan Seminar Datuk Hassan Ahmad, DBP.
“Perasaan kami wajar dihormati sebab kami diterima bukan sebab kami Penulis Bukan Melayu tetapi disebabkan kualiti karya kami,” kata wanita ini yang mengakui kelayakannya untuk memenangi suatu hadiah sastera beberapa tahun lalu masih dipertikaikan.
Dr Lim Swee Tin dan Rajeswari adalah dua penulis yang sangat disenangi khalayak sastera Melayu. Lim dikatakan lebih Melayu daripada orang Melayu; sehingga orang Cina sudah tidak rela mengakui beliau sebahagian kaum mereka. Beliau penerima SEA Write Award (2000) serta dicalonkan bagi Anugerah Sastera Negara pada 2009.
Rajeswari pula dilaporkan pernah mengaku mendapat banyak ilham bagi menghasilkan sajak-sajak bertema Islam selepas menjadi pengikut tegar seorang guruji (pendakwah bebas) yang amat diragui kredibilitinya.
"Perasaan kami wajar dihormati,” rayu Rajeswari (kanan).
Pada Seminar Sastera Pelbagai Kaum (7 September 2012), Siti Aisah Murad mengisytiharkan Rajeswari sebagai “satu-satunya penulis yang mewakili masyarakatnya” dalam menghasilkan karya yang disifatkan oleh Sasterawan Negara Datuk Kemala sebagai “sajak-sajak bertema Melayu dan Islam”.
Kalaulah penulis hebat seperti Lim dan Rajeswari pun sudah tidak rela dilabelkan sebagai “Penulis Bukan Melayu” dan sebaliknya mahu diiktiraf atas bakat sebenar yang dimiliki, saya tidak nampak mengapa kita masih perlu teragak-agak untuk menghapuskan label dan kategori itu.
Dalam kesemua aktiviti Kavyan, tidak pernah ada kategori khas bagi “Bukan Melayu”. Sebaliknya semua akiviti bahasa, sastera, seni dan budaya anjuran Kavyan terbuka kepada peserta pelbagai kaum; tanpa sebarang kuota khas bagi mana-mana kaum.
Kalau saya ditanya soalan “Perlukah ada lagi konsep Penulis Melayu dan Bukan Melayu dalam kesusasteraan kebangsaan masa kini?” (tajuk forum di DBP), jawapan saya amat mudah: “Tidak.”
Pada pendirian saya, masih belum terlewat untuk menghapuskan diskriminasi dan penghinaan yang berlaku (secara sedar atau tidak sedar) menerusi pembahagian label/kategori “Penulis Melayu” dan “Penulis Bukan Melayu”.
Sama-samalah kita berusaha melahirkan lebih ramai “Penulis Malaysia” yang mampu menghasilkan karya bermutu dalam Bahasa Malaysia tanpa sedikit pun meminggirkan jati diri serta budaya kaum dan etnik masing-masing.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.
You May Also Like