Opinion
Alahai, penulis bukan Melayu! (Bahagian 1)

6 OKTOBER — “Saya tidak setuju dengan istilah Penulis Kaum India. Sebaliknya saya lebih selesa dengan istilah Penulis Bukan Melayu.”

 

Advertising
Advertising

Demikian ditegaskan seorang individu menerusi sepucuk e-mel pada 8 Julai 2003 sebagai reaksi terhadap pandangan saya yang disiarkan dalam majalah Siasah (Jun 2003).

Rasional yang dikemukakan oleh penulis wanita berkenaan yang pernah saya bimbing sejak tahun 1998 adalah bahawa konsep/gelaran “Bukan Melayu” membuatkan dirinya lebih ‘dekat’ dengan “Melayu” manakala “Kaum India” pula ‘menjauhkan’ jarak.


Ahli panel berkongsi pandangan mengenai konsep Penulis Melayu dan Bukan Melayu. — Gambar oleh Ukthaya Sankar SB

Sewaktu saya bersama-sama Dr Krishanan Maniam dijemput membentangkan kertas kerja di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1998, pengerusi majlis memperkenalkan saya sebagai “Penulis Tamil”.

Saya segera melakukan pembetulan bahawa saya adalah sasterawan Malaysia yang menulis dalam Bahasa Malaysia.

Begitu juga semasa Simposium Penulis Pelbagai Kaum di Perlis pada 2002, saya terpaksa menegur beberapa pengkaji sastera yang menggunakan istilah “Penulis Tamil” dan “Penulis Bukan Melayu” apabila merujuk kepada kelompok penulis kaum India yang menghasilkan karya asli menggunakan Bahasa Malaysia.

Dr Mohd Saleeh Rahamad yang turut membentangkan kertas kerja pada simposium itu bersikap profesional dengan menjelaskan bahawa istilah “Penulis Tamil” merujuk kepada penulis yang menghasilkan karya Bahasa Tamil, manakala istilah “Penulis Kaum India” lebih tepat bagi penulis kaum India yang menulis karya Bahasa Malaysia.

Berikutan suatu seminar di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Julai 2004, istilah khusus yang digunakan adalah “Sasterawan Kavyan” apabila merujuk kepada penulis kaum India yang menulis karya asli Bahasa Malaysia.

Dalam majalah Tunas Cipta (Ogos 2009), saya bersetuju bahawa pembahagian penulis mengikut kaum harus ditiadakan, apatah lagi apabila para penulis berkenaan berkarya dalam Bahasa Malaysia.

Masalah dan kecelaruan istilah dan konsep seperti di atas bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. Sebaliknya wujud sejak penulis kaum India mula menulis menggunakan bahasa Melayu; jauh sebelum istilah “Bahasa Malaysia” diperkenalkan pada 1970.

Budaya melabel penulis karya sastera

Contoh paling mudah yang muncul dalam minda adalah Munshi Abdullah (Abdullah Abdul Kadir) yang sering dilabelkan sebagai “Penulis Melayu” semata-mata kerana pengarang berdarah India itu beragama Islam dan menulis menggunakan bahasa Melayu.

Hal ini turut saya jadikan contoh semasa membentangkan kertas kerja bertajuk “Speaking in Tongues: The Kavyan Writers” pada Persidangan Penulis Tamil Sedunia di Singapura pada 2011.

Sekiranya kita meneliti perkembangan sastera Melayu di Malaysia, pada sekitar tahun 1970-an, lahir kelompok penulis Bahasa Tamil yang mula menulis atau menterjemah karya Bahasa Tamil ke Bahasa Malaysia.

Harus juga dinyatakan bahawa istilah “Bahasa Malaysia” diperkenalkan pada 1970 sebagai salah satu usaha murni memupuk perpaduan kaum serta menimbulkan semangat kekitaan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

Kelompok yang melakukan kerja-kerja terjemahan tadi atas galakan agensi kerajaan seperti DBP dan persatuan penulis seperti Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) berasa selesa — atau sekurang-kurangnya tidak membantah — apabila dilabel sebagai Penulis Tamil dan Penulis Bukan Melayu.

Keselesaan yang sama seperti itulah yang ditunjukkan oleh Raja Rajeswari Seetha Raman apabila dia menyatakan pendirian “lebih selesa dengan istilah Penulis Bukan Melayu”.


'Saya tidak suka dibanding-bandingkan dengan penulis Melayu,' kata Thanusya.

Isu penggunaan istilah “Penulis Melayu” dan “Penulis Bukan Melayu” nampaknya masih belum selesai sampai sekarang. Ini tentunya sebagai tambahan kepada isu istilah “Penulis Tamil” dan “Penulis Kaum India” yang sesekali menjadi polemik dalam kalangan penulis kaum India yang menghasilkan karya menggunakan Bahasa Malaysia.

Rajeswari juga pernah merajuk pada awal Julai 2003 apabila namanya disenaraikan di bawah “penulis baru”. Katanya, dia perlu dikategorikan sebagai “penulis sedang meningkat”. Allahyarham Dr Othman Puteh mengesahkan kategori itu tidak wujud.

Forum “Perlukah Ada Lagi Konsep Penulis Melayu dan Bukan Melayu dalam Kesusasteraan Kebangsaan Masa Kini?” anjuran DBP pada 29 September 2014 tidak membantu mencari penyelesaian yang diharapkan terhadap polemik yang berlarutan sejak 1970-an.

Sebaliknya hanya membuka ruang untuk khalayak sastera mengulangi topik, isu, keluhan, rintihan, rayuan dan hujah yang sudah basi dibincangkan tanpa bersungguh-sungguh membuat ketetapan yang tuntas – seingat saya – sejak 1994.

Penulis tolak label yang mendiskriminasi

Pada 8 Januari 1994, saya menghadiri “Forum Penulis Pelbagai Kaum: Satu Pertemuan Kreatif” anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) di bangunan lama DBP, Kuala Lumpur.

Terus-terang, forum yang sesungguhnya hanya berupa “pertemuan” itu tidak mencapai sebarang kata sepakat seperti yang telah saya impikan sewaktu menghadirinya dengan penuh semangat sebagai seorang penulis muda.

Pelbagai isi, keluhan, rayuan dan maklumat yang dikongsikan Krishanan masih dibentangkannya semula pada forum 29 September 2014. Seolah-olah dunia sastera kebangsaan melibatkan pengarang pelbagai kaum masih tersekat di sana.

Dalam forum terbaru di DBP, Dr Lim Swee Tin menyatakan bahawa beliau mula menggunakan istilah “Penulis Bukan Melayu” dalam sebuah ulasan pada tahun 1974.

Kini beliau menegaskan bahawa label dan kategori “Penulis Bukan Melayu” sudah tidak perlu lagi. Saya amat bersetuju dengan pendirian dan hujah bernas yang beliau kemukakan untuk menyokong pandangan itu.

“Pada tahun 1985, saya ada menulis satu rencana di mana saya nyatakan bahawa sudah tiba masanya kita tinggalkan istilah Penulis Bukan Melayu disebabkan oleh rata-rata pengarang kita yang lahir dan memperoleh pendidikan melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan sudah mampu menguasai Bahasa Malaysia dengan baik. Maka marilah sama-sama kita tinggalkan istilah Penulis Bukan Melayu,” katanya dengan penuh semangat.

Sebagaimana disebutkan oleh seorang lagi ahli panel forum, Dr Ramzah Dambul, pembahagian kategori “Penulis Melayu” dan “Penulis Bukan Melayu” amat tidak adil serta seolah-olah mendiskriminasi kelompok penulis “bukan Melayu” itu sendiri.

Bagi Krishanan pula, kategori “Penulis Bukan Melayu” yang diadakan dalam pelbagai pertandingan menulis cerpen anjuran DBP, Maybank, Utusan, Esso dan sebagainya telah membantu melahirkan ramai penulis pelbagai kaum sejak tahun 1980-an.

Memang benar tetapi sampai bila kelompok penulis “Bukan Melayu” perlu dimanjakan dan diberikan hadiah menerusi penghakiman (penilaian) yang jauh lebih longgar berbanding penghakiman karya penulis Melayu?

Novel sulung Thanusya Shanmuganathan berjudul Tak Sengaja Cinta bakal dilancarkan pada 12 Oktober 2014. Dalam berkongsi rasa gembira, penulis yang menggunakan nama pena Meera Natasya itu menegaskan bahawa novelnya dipilih oleh penerbit kerana mutu, bukan kerana dia Penulis Bukan Melayu.

“Saya menulis dari hati dan mahu dilihat sebagai penulis berwibawa, bukan penulis kaum India yang menulis karya kurang bermutu. Saya tidak suka dibanding-bandingkan dengan penulis Melayu,” katanya lagi.

Nama-nama besar seperti Saroja Theavy Balakishnan pasti tidak menjadi sebutan ramai dan karya mereka dikaji pada peringkat ijazah sarjana jika mereka sekadar mahu berkarya dalam lingkungan kategori Penulis Bukan Melayu. (Bersambung)

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like