Opinion
Baca Cerpen Kavyan: Sedekad kemudian

5 JULAI — Begitu cepat masa berlalu. Pejam-celik, pejam-celik, hampir sepuluh tahun sudah berlalu sejak Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menganjurkan acara “Baca Cerpen Kavyan” yang mencatatkan nama dalam “The Malaysia Book of Records”.

Perkara itu turut diakui Penasihat Agung Kavyan, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) sewaktu kami bertemu di Bangsar Utama pada 2 Julai untuk membincangkan perkembangan aktiviti Kavyan.

Advertising
Advertising

Antara topik yang kami bincangkan adalah berkaitan perlunya perpaduan, persefahaman, tolak-ansur dan integrasi diperkukuhkan; tanpa sebarang motif dan campur tangan politik. Pak Samad yang turut terlibat dalam The Cooler Lumpur Festival (21-23 Jun 2013) mengakui betapa bahasa dan sastera sepatutnya menyumbang kepada perpaduan; bukan menjadi sempadan.

Dalam hal ini, acara “Baca Cerpen Kavyan” yang dirancangkan pada 1 September nanti pasti akan mampu berperanan menyediakan ruang ke arah mempupuk interaksi dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama dan latar budaya.

Acara ini bakal dianjurkan oleh Kavyan dengan kerjasama Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Galeri Shah Alam, Yayasan Seni Selangor, Kumpulan Media Karangkraf dan Gemilang Publishing Sdn Bhd.

Tentu sahaja Kavyan tidak bercadang mengulangi — apatah lagi mengatasi — rekod pembacaan 384 cerpen Bahasa Malaysia secara berterusan oleh 166 peserta pelbagai kaum selama 96 jam 32 minit. Sebaliknya, mengimbas kejayaan mengumpulkan penulis, pembaca, peminat dan pencinta sastera di bawah satu bumbung iaitu di pentas terbuka Galeri Shah Alam sedekad lalu.


Aktiviti Kavyan turut mendapat sokongan DBP.

Secara peribadi, saya mengakui bahawa adalah agak sukar untuk mengumpulkan begitu ramai peserta dan penonton seperti dahulu. Apatah lagi terdapat “kempen” oleh puak fanatik, rasis dan etnosentrik tertentu sejak beberapa tahu lalu yang menyeru orang ramai — khususnya orang Melayu — memboikot apa-apa acara anjuran Kavyan.

Perkara seperti ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru. Malah, semasa acara “Baca Cerpen Kavyan” diadakan sepuluh tahun lalu, seorang individu menyebarkan khabar angin kononnya satu “puak” sedang berusaha menggagalkan acara itu.

Kumpulan “puak” itu juga kononnya akan “menghancurkan” saya dan Kavyan. Selepas itu, “puak” berkenaan khabarnya akan mengangkat individu tersebut menjadi “Penulis Bukan Melayu paling hebat dalam sastera Bahasa Melayu” tanpa dia perlu berusaha menghasilkan karya bermutu.

Memang melucukan tetapi itulah yang benar-benar berlaku. Akhirnya, seperti yang dapat diduga, individu terbabit langsung tidak hadir ke acara “Baca Cerpen Kavyan”. Dia sempat mengirimkan pesanan ringkas (SMS) kepada saya: “Mereka akan hancurkan awak. Kalau awak bijak, awak selamatkan Kavyan.”

Walau bagaimanapun, acara yang berlangsung dari 29 Ogos hingga 2 September 2003 tidak berdepan apa-apa masalah. Golongan Sasterawan Negara, wakil DBP, wakil Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), wakil pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar dan sebagainya mengambil bahagian.

Sejak itu, Kavyan mengadakan acara serupa pada skala kecil-kecilan di seluruh negara. Malah, Kavyan bekerjasama dengan Bahagian Gerakan Literasi Maklumat, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Kementerian Pelajaran Malaysia dalam mengendalikan acara serupa.

Acara “Baca Cerpen Kavyan” pada September ini antara lain bertujuan mengimbas kejayaan sedekad lalu. Kejayaan yang yang dimaksudkan termasuklah usaha memupuk minat membaca dan menghayati karya cerpen dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum; serta memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan.

Semasa acara pada tahun 2003, Pak Samad membacakan cerpen terakhir yang melengkapkan usaha Kavyan mencatatkan nama dalam The Malaysia Book of Records. Bagi acara kali ini, beliau mengesahkan akan turut mengambil bahagian.

Allahyarham Dr Othman Puteh merupakan individu yang memulakan sesi pembacaan semasa acara pada 29 Ogos 2003. Sebagai terus mengenang beliau yang pernah menjadi Penasihat Kehormat Kavyan semasa hayatnya, Kavyan beberapa kali mengadakan acara “Baca Cerpen Dr Othman Puteh”. Acara serupa sedang dirancang pada Oktober nanti sempena Bukan Bahasa Kebangsaan (BBK) anjuran DBP.

Lawatan penulisan dan jerayawara Kavyan

Dalam pada itu, “Lawatan Penulisan Kavyan” (29-30 Jun 2013) turut menyaksikan sesi persembahan cerpen di Restoran Nachi’s Indian Cuisine, Ipoh; Taman Tasik Taiping dan Zammaz Nur Villa, Permatang Pauh dalam skala kecil tetapi penuh bermakna.

Acara yang dinamakan “Jerayawara Kavyan” (Kavyan’s Roadshow) pula sedang dirancang untuk diadakan di Shah Alam, Kuala Selangor, Melaka, Seremban dan beberapa tempat lain bagi memasyarakatkan sastera serta membudayakan baca cerpen di tempat awam.

Aktiviti “baca cerpen” yang dimaksudkan bukanlah sekadar memegang buku/kertas dan membaca. Sebaliknya, mempersembahkan cerita dengan penuh gaya mengikut beberapa panduan yang disediakan oleh Kavyan. Panduan dan kriteria berkenaan boleh dirujuk di blog Kavyan.


Peserta terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan umur.

Semasa “Baca Cerpen Kavyan” diadakan buat julung kali pada 2003, peserta diberikan kebebasan memilih mana-mana cerpen oleh mana-mana pengarang. Bagi acara pada September nanti, kategori cerpen yang boleh dijadikan teks diketatkan.

Peserta bebas memilih mana-mana cerpen karya Pak Samad dan Othman Puteh. Cerpen-cerpen Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh Sasterawan Kavyan juga dibenarkan. Sekiranya peserta adalah seorang penulis, maka dibenarkan membaca cerpen sendiri; dengan syarat bahawa cerpen itu sudah pernah tersiar dan menggunakan Bahasa Malaysia bermutu.

Syarat-syarat yang diletakkan ini tidak menafikan hak sesiapa serta tidak mendiskriminasi mana-mana pihak. Sesiapa sahaja berhak untuk mengambil bahagian dan mempersembahkan petikan cerpen yang sesuai dan memenuhi panduan/syarat yang ditetapkan.

Tidak mustahil bahawa akan ada usaha pihak tertentu menggagalkan acara yang dirancang. Saya tidak akan terkejut kerana beberapa aktiviti Kavyan sejak 2003 memang pernah cuba disabotaj menerusi pelbagai cara oleh pihak tertentu yang ternyata tidak bermaruah, tidak beretika dan tiada pegangan agama.

Kempen “anti-Kavyan” juga semakin rancak sejak tercetus kontroversi novel “Interlok: Edisi Murid” pada tahun 2011. Gambaran yang cuba diberikan adalah seolah-olah Kavyan “mencabar hak/maruah pengarang Melayu” sedangkan apa yang dilakukan oleh Kavyan adalah sebaliknya — mempertahankan hak/maruah serta hak cipta karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain selaku pengarang asal novel berkenaan.

Cabaran dan dugaan tetap ada di mana-mana. Namun begitu, Tuhan sentiasa bersama pihak yang benar. Puak yang berniat jahat dan menjadi sekutu syaitan akan tetap merana serta gagal dalam setiap rancangan jahat mereka. Sebagaimana golongan politikus tertentu, puak ini juga tidak akan puas selagi mereka tidak mencetuskan masalah kepada orang ramai.

Semoga acara “Baca Cerpen Kavyan” pada September 2013 memberikan sinar keinsafan kepada puak terbabit. Semoga mereka tampil untuk sama-sama memupuk perpaduan dan persefahaman menerusi aktiviti ini. Atau sekurang-kurangnya diberikan hidayah supaya mereka tidak cuba merosakkan usaha-usaha Kavyan yang menggunakan bahasa, sastera, seni dan budaya untuk merealisikan Bangsa Malaysia yang diimpikan.

* Maklumat lanjut mengenai pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya boleh dirujuk di www.kavyan.blogspot.com dari semasa ke semasa.

* This is the personal opinion of the columnist.

Related Articles

 

You May Also Like